
PERSEMPADANAN semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kini muncul sebagai antara isu institusi paling penting dalam politik negeri ini.
Ia bukan sekadar soal teknikal melukis garisan pada peta, tetapi menyentuh inti pati demokrasi perwakilan.
Maka persoalan seperti pihak diwakili, mekanisme kuasa undi diagihkan, dan tahap keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi pilihan raya turut terserlah.
Dalam konteks Sarawak, isu ini menjadi lebih sensitif kerana negeri ini luas, penduduk sekitar 2.5 juta (2025), berbilang etnik, berbeza daripada sudut geografi, dan mempunyai sejarah politik yang tersendiri.
Sebagaimana dianggarkan oleh gerakan sivil, keluasan Baram lebih besar dari Perak, Kapit hampir sebesar Negeri Sembilan, manakala Tanjong Manis hanya sepertiga dari Negeri Sembilan.
Wacana persempadanan
Perbincangan mengenai penambahan kerusi daripada 82 kepada 99 dan proses persempadanan semula tidak boleh dilihat secara sempit, apatah lagi dijadikan gelanggang tuduh menuduh politik semata-mata.

Pada satu sisi, terdapat hujah yang munasabah bahawa Sarawak sememangnya memerlukan pertambahan kerusi. Negeri ini sangat besar, sebahagian kawasannya sukar diakses, komuniti penduduknya pula berselerak dan pelbagai dari segi etnik serta keperluan setempat.
Dalam keadaan demikian, wakil rakyat bukan sahaja menjalankan fungsi legislatif, tetapi juga menjadi penghubung utama antara rakyat dengan pembangunan.
Daripada sudut ini, hujah bahawa lebih banyak kerusi akan memudahkan pentadbiran, mempertingkatkan keberkesanan perwakilan, dan membolehkan lebih banyak komuniti mendapat suara dalam DUN bukanlah sesuatu yang boleh ditolak mentah-mentah.
Malah, dalam konteks Sarawak, persoalan keterwakilan etnik dan wilayah sering dianggap sebahagian daripada realiti politik yang perlu diurus secara pragmatik.
Elak tanam keraguan
Namun pada sisi yang lain, keperluan menambah kerusi tidak secara automatik menghalalkan apa-apa jua bentuk persempadanan. Di sinilah timbul kebimbangan yang sedang berlegar dalam ruang awam.
Kebocoran dokumen, dakwaan wujudnya set slaid yang sangat terperinci, laporan media mengenai kemungkinan agihan kerusi yang didakwa kononnya mengikut parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan persoalan mengenai sesetengah kawasan yang padat pengundi tidak disentuh, semuanya telah menimbulkan sedikit keraguan.
Walaupun dakwaan ini belum dibuktikan secara muktamad, ia sudah cukup untuk mencetuskan persoalan besar tentang persepsi integriti. Dalam demokrasi, persepsi terhadap keadilan institusi sama penting dengan keadilan itu sendiri.
Peranan SPR
Sesuatu proses mungkin sah di sisi undang-undang, tetapi jika ia dilihat terlalu dekat dengan kepentingan parti pemerintah, keyakinan awam akan tetap terjejas.
Di sinilah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memikul tanggungjawab yang amat besar. SPR bukan sekadar perlu berlaku adil, tetapi mesti dilihat adil.

Dalam isu Sarawak ini, cabaran SPR bukan hanya menyiapkan semakan persempadanan dalam tempoh yang ditetapkan Perlembagaan, tetapi melakukannya dengan standard ketelusan yang lebih tinggi daripada biasa.
Hal ini kerana suasana sekeliling proses tersebut sudah pun dibayangi pelbagai dakwaan dan naratif. Jika SPR mengambil pendekatan senyap, defensif, atau terlalu birokratik, ruang kosong itu akan segera diisi oleh spekulasi.
Sebaliknya, SPR perlu tampil dengan penjelasan yang jelas, metodologi yang boleh diteliti, rasional yang konsisten, dan peluang representasi awam yang bermakna.
Prinsip asas
Prinsip asas yang perlu menjadi panduan adalah jelas. Perlembagaan menuntut supaya jumlah pengundi dalam setiap kawasan adalah “lebih kurang sama”, dengan kelonggaran tertentu untuk kawasan luar bandar yang luas dan sukar dicapai.
Ini bermaksud konsep pemberatan kawasan tidak boleh dijadikan alasan umum untuk mempertahankan semua bentuk ketidakseimbangan.
Maka, ia mesti digunakan secara terhad, berasaskan justifikasi geografi dan aksesibiliti yang nyata. Dalam erti kata lain, keluasan kawasan dan kesukaran logistik adalah faktor yang sah, tetapi ia bukannya alasan untuk membenarkan jurang pengundi yang terlalu besar antara satu kawasan dengan kawasan lain.
Penelitian lebih wajar
Dalam hal ini, kritikan yang dibangkitkan oleh kelompok masyarakat sivil dan juga beberapa pemimpin politik pembangkang wajar diteliti secara serius, walaupun tidak semestinya diterima sepenuhnya.
Apabila terdapat kawasan bandar yang hampir sama saiz pengundinya tetapi menerima layanan berbeza dari segi pertambahan kerusi, atau apabila kawasan tertentu yang jelas terlalu padat tidak diberi perhatian sewajarnya, maka persoalan tentang konsistensi pasti timbul.
Begitu juga jika kawasan pedalaman yang benar-benar luas dan mencabar dari segi logistik tidak mendapat pertimbangan yang sepadan, sedangkan kawasan yang kurang luas kelihatan menikmati kelebihan representasi yang lebih besar. Semua ini menuntut justifikasi yang rasional, bukan penjelasan politik.
Politik dan masyarakat sivil
Pada masa sama, adalah tidak bijaksana untuk terus menghukum GPS atau kerajaan negeri semata-mata kerana mereka mempunyai pandangan tentang bagaimana kerusi baharu patut diagihkan.
Dalam politik, semua pihak tentu akan cuba membaca peta, membuat simulasi, dan merancang kedudukan masing-masing. Parti pemerintah, pembangkang, badan pemikir, dan pertubuhan masyarakat sivil semuanya berhak mengemukakan cadangan.
Itu sebahagian daripada proses demokrasi. Yang menjadi masalah bukanlah wujudnya cadangan daripada mana-mana pihak, tetapi jika cadangan itu kemudiannya seolah-olah diangkat bulat-bulat menjadi cadangan rasmi institusi yang sepatutnya bebas.
Maka sempadan antara penyertaan politik yang sah dengan pengaruh yang tidak wajar itulah yang mesti dijaga dengan tegas.
Perlu diakui bahawa realiti politik Sarawak yang lebih kompleks daripada ukuran matematik semata-mata. Sarawak bukan negeri homogen.
Keterwakilan etnik, keseimbangan antara bandar dan luar bandar, hubungan komuniti tempatan, sempadan semula jadi, jaringan jalan raya, sungai, dan pola penempatan semuanya mempunyai implikasi politik dan pentadbiran.
Sebab itu, formula “satu orang satu nilai undi” dalam bentuk paling keras sukar diterapkan secara mekanikal di Sarawak. Tetapi kesukaran itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengekalkan ketidakseimbangan yang berlebihan. Jalan tengah yang adil ialah menerima keperluan fleksibiliti, sambil menolak manipulasi.
Keseimbangan dan berwibawa
Yang lebih penting sekarang ialah membina proses yang berwibawa. SPR perlu memperincikan kriteria yang digunakannya beberapa persoalan seperti, apakah julat perbezaan pengundi yang dianggap boleh diterima, bagaimana “pemberatan kawasan” ditentukan, apakah indikator yang digunakan untuk menilai kesukaran akses, dan bagaimana faktor komuniti tempatan diambil kira?.
Proses pendengaran awam pula tidak boleh bersifat kosmetik. Ia mesti benar-benar memberi ruang kepada pandangan rakyat, parti politik, akademik, pertubuhan masyarakat sivil, dan pemimpin setempat untuk meneliti serta mencabar cadangan yang dikemukakan.
Lebih banyak data dibuka kepada umum, lebih sukar proses itu dipersoalkan sebagai berat sebelah.
Pada masa sama, semua pihak juga perlu menunjukkan disiplin wacana. Masyarakat sivil berhak mempersoalkan dan memantau, tetapi perlu mengelakkan kecenderungan menghukum sebelum cadangan rasmi dikeluarkan.
GPS pula berhak mempertahankan keperluan pertambahan kerusi dan realiti demografi Sarawak, tetapi perlu sedar bahawa persepsi dominasi berlebihan akan menghakis legitimasi moral mereka sendiri.
Pembangkang juga perlu berhujah secara substantif, bukan sekadar menunggang kecurigaan. Di pihak media pula mesti terus memainkan peranan semak imbang tanpa terperangkap dalam sensasi.
Melangkaui parti dan kepentingan
Hakikatnya, isu persempadanan semula ini lebih besar daripada pertarungan antara GPS, pembangkang dan masyarakat sivil. Ia adalah ujian terhadap kematangan demokrasi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Jika proses ini berjaya dilaksanakan secara telus, berasaskan prinsip, dan mampu meyakinkan pelbagai pihak, maka ia akan menjadi contoh bahawa reformasi institusi masih boleh bergerak walaupun dalam persekitaran politik yang penuh persaingan.
Tetapi jika proses ini dibayangi keraguan, dijawab dengan sikap tertutup, atau menghasilkan peta yang sukar dipertahankan dari segi logika dan keadilan, maka kesannya bukan sahaja terhadap pilihan raya negeri akan datang, tetapi juga terhadap kepercayaan awam kepada institusi demokrasi.
Masa juga tidak menyebelahi sesiapa. Dengan tarikh akhir perlembagaan yang menghampiri, sebarang kelewatan, kecuaian, atau cabaran undang-undang boleh menjerumuskan proses ini ke dalam kekusutan yang lebih besar.
Justeru, langkah paling bijaksana ialah mempercepatkan proses, tetapi bukan secara tergesa-gesa. Cepat tanpa cermat akan mengundang krisis. Cermat tanpa ketelusan pula akan mengundang syak.
Rumusan
Akhirnya, prinsip yang harus memandu persempadanan semula DUN Sarawak sangat mudah dirumuskan, iaitu adil kepada bandar, adil kepada luar bandar, adil kepada pedalaman, adil kepada semua komuniti, dan adil juga kepada masa depan demokrasi negeri.
Tiada siapa patut diberi lesen untuk memonopoli tafsiran tentang “kepentingan Sarawak”. Kepentingan Sarawak yang sebenar ialah apabila setiap rakyat, sama ada di Kuching, Miri, Kapit, Baram, Mukah atau pedalaman Hulu Rajang, dapat merasakan bahawa undi mereka tidak diperkecilkan, suara mereka tidak dipinggirkan, dan institusi yang mengurus pilihan raya berdiri di atas garis yang berkecuali.
Persempadanan yang baik bukanlah yang paling menguntungkan mana-mana parti. Persempadanan yang baik ialah yang paling dapat dipertahankan di hadapan akaliah, undang-undang, dan hati nurani rakyat. Itulah ukuran sebenar integriti!
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah Pengarah Kajian Kecemerlangan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.