
KUALA LUMPUR: Di dalam akuarium sedalam 4.2 meter yang didiami jerung, ikan pari dan ribuan hidupan laut lain, dengan latar karya kartunis legenda Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat, dua penyelam melangkah perlahan di dasar air sebelum memulakan gerakan silat.
Pergerakan mereka tidak sepantas di darat. Setiap langkah dan hayunan tangan kelihatan seperti dalam gerakan perlahan, namun itulah cabaran sebenar apabila seni bela diri tradisional Melayu dipersembahkan di bawah permukaan air.
Persembahan unik itu merupakan antara tarikan utama kempen Ombak Tradisi Raya di Aquaria KLCC yang berlangsung dari 4 Mac hingga 8 April, membawa suasana sambutan Aidilfitri ke dalam pengalaman akuarium dengan mengetengahkan elemen tradisi Malaysia.

Di sebalik aksi itu, penyelam profesional Wan Hamizan Wan Roslan yang terlibat dalam persembahan silat dalam air berkata setiap pergerakan perlu disesuaikan dengan faktor seperti daya apungan, peralatan selam serta pakaian yang digunakan.
“Biasanya badan kita mudah terapung, jadi kita perlu memastikan peralatan yang digunakan cukup berat supaya pergerakan dalam air lebih stabil. Kalau terlalu terapung, nak berjalan pun susah, apatah lagi melakukan pergerakan silat,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran kempen itu, di sini baru-baru ini.
Wan Hamizan, 33, yang tidak mempunyai asas dalam seni silat, berkata dalam persembahan itu mereka tidak menggunakan sirip selam seperti kebiasaan, sebaliknya hanya memakai plat belakang dan but selam bagi membolehkan mereka berjalan di dasar akuarium.
“Saya sebenarnya tak ada latar belakang dalam silat, jadi saya banyak bertanya rakan yang ada pengalaman dalam persilatan. Tapi sebelum ini saya pernah belajar karate dan taekwondo, jadi asas pergerakan itu ada dan boleh digunakan,” katanya yang telah berkhidmat di Aquaria KLCC selama lapan tahun.
Seorang lagi penyelam, Muhammad Amirul Haziq Mohd Yuzri berkata, faktor graviti dalam air menyebabkan setiap pergerakan kelihatan seolah-olah dalam gerakan perlahan berbanding di darat.
“Kalau di darat kita boleh bergerak dengan lebih cepat, tetapi di dalam air semuanya kelihatan seperti gerakan perlahan. Pergerakan seperti lompatan belakang atau lompatan hadapan juga nampak lebih perlahan,” katanya.
Muhammad Amirul Haziq, 26, yang bertugas sebagai Junior Aquarist di Aquaria KLCC sejak setahun lalu berkata dari segi keselamatan, persembahan itu tidak menimbulkan kebimbangan kerana hentakan di dalam air lebih rendah selain kehadiran penyelam khas yang ditugaskan bagi memantau aspek keselamatan.
“Walaupun masa latihan dalam air terhad, setiap sesi kami ulang berkali-kali bagi menyesuaikan pergerakan silat dengan keadaan dalam air,” katanya yang juga lulusan biologi marin daripada Universiti Malaysia Terengganu.
Selain persembahan silat dalam air, pengunjung juga berpeluang menyaksikan Pertunjukan Pemberian Makan Dalam Air serta Sesi Salam Bersama Memerang sepanjang kempen berlangsung. – Bernama