Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Persembahan Liverpool mengecewakan, kecundang kali keempat berturut-turut
  • SUKAN

Persembahan Liverpool mengecewakan, kecundang kali keempat berturut-turut

Utusan Sarawak 3 hours ago

Harry Maguire menjaringkan gol kemenangan pertama United di Anfield sejak 2016. Foto AFP

LIVERPOOL: Liverpool mengalami kekalahan keempat berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun apabila Manchester United menang 2-1 sebentar tadi, sekali gus menamatkan penantian hampir sedekad untuk mencatat kemenangan di Anfield.

Tandukan Harry Maguire pada minit ke-84 memastikan kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama di bawah kendalian Ruben Amorim sebagai pengurus United.

Bryan Mbeumo meledak gol pembukaan selepas hanya 61 saat.Foto AFP

Cody Gakpo menyamakan kedudukan 12 minit sebelum tamat selepas Bryan Mbeumo membuka jaringan hanya selepas 61 saat permainan bermula.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, sementara pengurus Arne Slot masih mencari formula terbaik selepas membelanjakan hampir £450 juta (AS$604 juta) dalam jendela perpindahan untuk memperkuatkan skuadnya.

United pula menutup jurang kepada dua mata daripada seteru tradisi mereka dan naik ke tangga kesembilan, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap Amorim selepas kemenangan terbesar beliau dalam tempoh hampir setahun memimpin kelab itu.

Sebelum ini, Liverpool hanya tewas sekali dalam 14 pertemuan Liga Perdana terakhir menentang United, dan United belum pernah menang di Anfield sejak era awal Jurgen Klopp pada Januari 2016. 

Namun, skuad The Reds kini berdepan tempoh peralihan selepas perubahan besar terhadap pasukan juara musim lalu serta kehilangan tragik Diogo Jota, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Julai.

Selepas tiga kekalahan berturut-turut buat kali pertama di bawah Slot, Liverpool mendapat permulaan yang lebih buruk daripada dijangka apabila Mbeumo mudah melepasi kawalan Virgil van Dijk sebelum melepaskan rembatan menewaskan Giorgi Mamardashvili hasil hantaran Amad Diallo seawal minit pertama.

Senne Lammens menafikan percubaan Alexander Isak untuk gol sulung Liga Perdana bersama Liverpool. Foto AFP

Penyokong tuan rumah berang apabila permainan tidak dihentikan selepas Alexis Mac Allister terjatuh akibat hentaman kepala dengan kaptennya sendiri, Van Dijk, dalam situasi awal itu.

Slot sekali lagi meninggalkan pemain berharga £100 juta, Florian Wirtz, di bangku simpanan sambil berusaha mencari keseimbangan antara serangan dan pertahanan.

Cody Gakpo hampir menyamakan kedudukan apabila percubaannya terkena tiang selepas menerima hantaran cantik Mohamed Salah — satu-satunya gerakan menarik Liverpool pada separuh masa pertama.

Namun, United sepatutnya menambah jaringan sebelum rehat apabila Bruno Fernandes gagal menyempurnakan peluang keemasan apabila rembatannya terkena bahagian luar tiang walaupun tidak dikawal di luar kotak penalti.

Penjaga gol United, Senne Lammens, jarang diuji pada separuh masa pertama, tetapi membuat penyelamatan penting untuk menggagalkan usaha Alexander Isak yang masih mencari gol sulung Liga Perdana bersama Liverpool selepas dibeli dengan rekod perpindahan British bernilai £125 juta.

Gakpo sekali lagi tidak bernasib baik apabila hantaran lintangnya yang terbias terkena tiang, sebelum dia sekali lagi mengenai palang pada awal babak kedua.

Slot kemudian memasukkan Wirtz dan Hugo Ekitike — dua pemain yang bernilai hampir £200 juta — pada minit ke-60 bagi menambah kuasa serangan, bergandingan dengan Salah, Gakpo dan Isak dalam formasi lima penyerang.

Salah, penjaring terbanyak dalam sejarah pertembungan ini, menunjukkan prestasi hambar apabila rembatannya tersasar jauh ketika berdepan peluang keemasan di hadapan gol.

Liverpool akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila pemain gantian Federico Chiesa menghantar lintang rendah yang disambar Gakpo dari jarak dekat untuk menyamakan kedudukan.

Namun, kegagalan bertahan Liverpool kembali menghantui mereka apabila hanya enam minit kemudian, Maguire tidak dikawal untuk menanduk masuk hantaran silang Fernandes.

Gakpo hampir menyelamatkan satu mata pada penghujung perlawanan, tetapi tandukannya tersasar walaupun pintu gol terbuka luas hasil hantaran Jeremie Frimpong.

Liverpool akhirnya tewas di Anfield dalam saingan liga buat kali pertama dalam lebih setahun — satu lagi tamparan terhadap harapan mereka untuk menjuarai gelaran ke-21 dalam sejarah bola sepak Inggeris. – AFP

Continue Reading

Previous: Spurs diaibkan lagi di laman sendiri ketika Villa bangkit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.