
SARIKEI: Persembahan lagu dalam Bahasa Cina oleh murid-murid sekolah rendah bukan sekadar menghiburkan, malah menjadi medium penting untuk memupuk semangat cinta terhadap bahasa dan budaya sejak usia muda.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, pertandingan nyanyian lagu Bahasa Cina peringkat Daerah Sarikei 2025 bukan sahaja mencungkil bakat tetapi turut membina keyakinan diri dan menyemai rasa bangga terhadap warisan bahasa ibunda.
“Nyanyian dalam Bahasa Cina bukan sekadar bentuk seni persembahan, ia juga merupakan kesinambungan warisan budaya.
“Melalui nyanyian, anak-anak kita belajar menghargai keindahan bahasa, ritma dan irama, sambil membina keyakinan serta keberanian untuk tampil di atas pentas,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh wakil beliau, Huang Tiong Kang, di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei, baru-baru ini.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Lembaga Bersatu Pengurusan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Sarikei dengan kerjasama Persatuan Guru-Guru Sekolah Rendah Cina Sarikei.
Huang turut menzahirkan penghargaan terhadap penganjuran pertandingan yang menurutnya mencerminkan kemajuan pendidikan sekolah rendah Cina di daerah ini dalam melahirkan murid yang aktif, berani dan berpotensi tinggi.
“Persembahan hari ini membuktikan pencapaian dan harapan terhadap sistem pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sarikei.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur, guru-guru serta ibu bapa atas dedikasi dan usaha mereka dalam menjayakan pertandingan ini yang bukan sahaja menyediakan ruang untuk anak-anak berkarya, malah turut mendidik dalam suasana yang positif dan menyeronokkan.
“Sokongan anda semua membuka peluang kepada anak-anak untuk bersinar dan menyerlah di pentas,” tambahnya.
Huang juga berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan agar lebih ramai murid mendapat manfaat, selain dapat belajar dan membesar dalam suasana yang ceria.
Beliau menegaskan bahawa pendidikan sentiasa menjadi keutamaannya sepanjang sembilan tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya juga memperjuangkan penambahbaikan kemudahan sekolah serta menyalurkan bantuan seperti pakaian seragam, kasut dan beg sekolah kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dan membantu membina generasi pelapis masa depan,” ujarnya lagi.
Oleh Earl Anek