
KUCHING: Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Sarawak akan menganjurkan Malam Gala Tahun Baharu Cina pada 1 Mac 2026 di Kompleks UNIFOR, sekali gus menandakan kembalinya format jualan meja selepas tempoh pandemik COVID-19.
Pengerusinya, Dato Richard Wee Liang Chiat, berkata penganjuran majlis berkenaan bertujuan bukan sahaja untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, malah sebagai platform menyatukan komuniti Cina, memelihara budaya tradisi serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan ahli persatuan.
“Tahun Baharu Cina merupakan perayaan yang amat signifikan dalam budaya Cina kerana melambangkan perpaduan, harapan dan permulaan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Malam Gala Tahun Baharu Cina dan Majlis Apresiasi Media 2026, di Premis Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan tiga tahun selepasnya, persekutuan itu tetap meneruskan penganjuran makan malam Tahun Baharu Cina, namun dilaksanakan secara jemputan sahaja berikutan kekangan ekonomi dan kewangan.
Namun tahun ini format jualan tiket dikembalikan bagi menjana dana operasi, dengan harga RM1,200 bagi setiap meja untuk 10 individu, sambil menggesa persatuan ahli memberikan sokongan.
Tambahnya, jawatankuasa penganjur yang diterajui Naib Presiden, Wilson Tan, turut giat menjalankan usaha pengumpulan dana melalui sumbangan Ahli Lembaga Penasihat serta sokongan syarikat dan individu.
“Kami menyasarkan sebanyak 80 meja, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijangka hadir sebagai tetamu kehormat,” jelasnya.
Sementara itu, Wilson Tan memaklumkan persekutuan berkenaan turut akan menganjurkan Majlis Penghargaan Media sebagai tanda penghormatan kepada pengamal media yang sekian lama menyokong dan melaporkan perkembangan komuniti Cina.

“Media memainkan peranan penting dengan mengekalkan tahap profesionalisme tertinggi dalam menyampaikan liputan yang objektif dan adil, sekali gus membantu masyarakat umum memahami sumbangan komuniti Cina.
“Majlis ini bukan sekadar acara penghargaan, tetapi lambang penghormatan dan terima kasih kami kepada rakan-rakan media atas sokongan berterusan terhadap persekutuan dan pembangunan komuniti Cina,” ujarnya.
Majlis berkenaan akan diadakan pada 8 Februari (Ahad), 12.00 tengah hari bertempat di Restoran Mandarin, Icom Square, dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dijangka hadir sebagai tetamu kehormat.
Dijangka sekitar 150 pengamal media bakal hadir, dengan pelbagai aktiviti disediakan termasuk pemberian angpau, cabutan bertuah dan sesi karaoke bagi mewujudkan suasana santai serta mesra.
Oleh Masrin Affirah