KUCHING: Sesi persekolahan hari pertama di Sarawak berjalan lancar selepas ia ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Hasil perbincangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini, bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan sebanyak 1,045 sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negeri Sarawak dibenarkan beroperasi secara bersemuka mulai semalam.
Keputusan ini diambil, setelah penilaian risiko dibuat dan memenuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 yang dikeluarkan oleh KPM.
Walau bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka untuk 220 sekolah rendah di kawasan berisiko tinggi penularan Covid-19 masih belum beroperasi sehingga 14 Mac 2021.
Oleh itu, segala persiapan rapi telah diatur bagi menyambut kehadiran murid pra sekolah dan sekolah rendah di seluruh negeri Sarawak. Justeru, tidak mengambil mudah aspek Prosedur Operasi Standard (SOP), KPM mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.
Hasil tinjauan wartawan di Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Jaya di sini, semalam mendapati sesi hari pertama persekolahan berjalan dengan lancar.
Pihak sekolah dan ibu bapa bekerjasama dalam memastikan pelajar menjalani persekolahan mereka dengan mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan.
Bukan itu sahaja, kakitangan sekolah bertungkus lumus mengawal dan memastikan proses kemasukan dan pendaftaran pelajar ke dalam sekolah berjalan dengan lancar dan selamat.
Menurut Guru Besar sekolah tersebut, Mohd Suip Mohd Suut berkata, ibu bapa tidak dibenarkan menghantar anak-anak masuk ke dalam sekolah tetapi hanya boleh menghantar anak di depan pintu pagar sahaja.
“Sebelum pelajar masuk, mereka terlebih dahulu akan diperiksa suhu oleh pengawal keselamatan di situ dan pendaftaran dibuat oleh ibu bapa mereka melalui MySejahtera,”katanya.
“Bagi pelajar pra-sekolah, setiap guru kelas sudah sedia menanti mereka di hadapan pagar sekolah dan membimbing mereka ke kelas masing-masing,”jelasnya.
Ditanya mengenai kapasiti pelajar di setiap kelas, beliau memberitahu hanya 35 pelajar sahaja dibenarkan dan meja serta kerusi telah disusun mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa sesi rehat untuk pelajar tidak seperti sebelum ini.
“Ibu bapa pelajar akan memesan makanan kepada guru kelas malam sebelumnya, dan guru kelas akan menghantar pesanan makanan tersebut kepada pihak kantin sekolah,”maklumnya.
“Keesokan harinya, sewaktu masa rehat, pihak kantin sekolah akan menghantar makanan berdasarkan pesanan ke pelajar tersebut dan mereka akan makan di kelas sahaja. Hal ini bagi memastikan penjarakan fizikal antara pelajar dapat dikawal,”tambahnya.
Ujar beliau lagi, masa persekolahan tamat juga dibezakan antara pelajar bagi setiap darjah iaitu selang 30 minit. Sebagai contoh, pelajar tahun 1 dan 2 balik dahulu, diikuti pelajar lain 30 minit kemudian dan seterusnya.
“Ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di luar sekolah sekaligus menjaga penjarakan fizikal antara ibu bapa yang menunggu di luar sekolah,”katanya.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ