
MARUDI: Kempen gotong-royong yang berlangsung di kawasan Pejabat Daerah Kecil Tinjar, Lapok, Beluru, hari ini disertai Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, sebagai sebahagian daripada usaha memupuk semangat kemasyarakatan.
Kempen tersebut turut bertujuan meningkatkan tanggungjawab sivik serta kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kebersihan dan alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, menegaskan bahawa kebersihan dan persekitaran hidup yang sihat merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara rakyat dan pihak kerajaan.
“Kempen gotong-royong ini bukan sekadar membersihkan persekitaran untuk sehari dua, sebaliknya bertujuan memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kawasan kita,” katanya.

Tambah beliau, persekitaran yang bersih mencerminkan sikap serta tahap perpaduan
Beliau turut berkongsi visi jangka panjang untuk mentransformasikan pekan Lapok daripada pekan yang tidak terurus dan suram kepada pekan yang lebih bersih, teratur serta menarik untuk didiami.
Menurutnya, usaha transformasi itu bermula dengan penyambungan bekalan elektrik grid melalui Projek Rakyat pada 2020 bagi pekan Lapok dan diteruskan dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur asas akan datang.
Antaranya termasuk pembinaan Pejabat Daerah Kecil Tinjar, projek bekalan elektrik luar bandar Tinjar, pembinaan dewan masyarakat, naik taraf sistem jalan raya melibatkan peruntukan melebihi RM300 juta, naik taraf sistem perparitan pembinaan esplanade di pekan Lapok serta pelbagai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah dan akan dilaksanakan di sekitar pekan Lapok dan kawasan Tinjar.
“Visi saya adalah untuk melihat pekan Lapok dan seluruh kawasan Tinjar menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami, kawasan yang bersih dan teratur,” katanya.
Tambah beliau, transformasi tersebut tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat dan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha berterusan serta penyertaan aktif seluruh komuniti dan pihak berkepentingan di kawasan ini.
Beliau turut menegaskan bahawa persekitaran pekan yang terpelihara dengan baik mampu menyumbang kepada kesihatan awam yang lebih baik, pemikiran yang lebih positif, peningkatan kualiti hidup serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas, khususnya kepada peniaga kecil dan industri tempatan.
“Saya menggesa penduduk, peniaga serta syarikat perladangan setempat agar terus mengamalkan sikap bertanggungjawab seperti pengurusan sisa secara berhemah dan menjaga kebersihan supaya pembangunan kawasan Tinjar dapat dikekalkan dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Penguang merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan awam, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), ahli-ahli majlis, pergerakan pemuda dan wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta orang ramai yang bersama-sama menjayakan inisiatif kempen gotong-royong.
Oleh Jiku Juguong