KAPIT: Persekitaran aman yang dinikmati Kapit hari ini merupakan hasil daripada Perjanjian Perdamaian Kapit yang dimeterai seabad lalu.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, menegaskan bahawa perjanjian bersejarah itu telah membuka jalan untuk kemajuan, inovasi, dan pembangunan di kalangan masyarakat setempat.
“Persekitaran yang aman membolehkan rakyat memberi tumpuan kepada pembangunan. Kepelbagaian budaya, tradisi, dan idea juga dapat berkembang, saling memberi inspirasi antara satu sama lain,” katanya dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun ke-100 Perjanjian Perdamaian Kapit di Kubu Sylvia, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perjanjian Perdamaian Kapit, yang ditandatangani pada 16 November 1924 di Kubu Sylvia, disaksikan oleh Rajah Brooke serta pemimpin etnik tempatan.
Ia berjaya meredakan pertikaian, menghapuskan dendam yang berpanjangan, dan membawa kestabilan sosial serta ekonomi kepada Sarawak.
Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit, menekankan bahawa perjanjian tersebut menjadi titik tolak kepada perdamaian di Sarawak, walaupun tidak semua konflik dapat dihentikan serta-merta.
“Perjanjian ini mengakhiri konflik berdarah antara kaum Iban, Kayan, dan Kenyah di pedalaman Sarawak. Ia membuka ruang untuk penyatuan nenek moyang kita dan menjadi asas kepada keharmonian yang kita nikmati hari ini,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa walaupun peristiwa pahit masa lalu boleh dilupakan, pengajarannya harus diambil untuk memastikan perpaduan terus dipelihara.
“Yang pahit itu penawar yang menyatukan kita. Tiada nilai wang ringgit yang mampu menggantikan legasi perpaduan ini. Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskannya sebagai bekalan generasi akan datang,” tambahnya.
Nanta turut menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan infrastruktur untuk memastikan Kapit terus maju seiring dengan arus kemodenan.
“Pendidikan dan kemajuan infrastruktur harus bergerak seiring bagi membantu perkembangan Kapit dan seluruh penduduknya agar tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan atas usaha berterusan memajukan kawasan tersebut.
“Tentunya, banyak usaha telah dilaksanakan oleh kedua-dua pihak kerajaan. Atas dasar itu, saya mewakili seluruh rakyat Kapit ingin menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga,” ujarnya.
Oleh Akun Giman / Tarani Lanting