KERAJAAN baru-baru ini melakarkan sejarah baharu ke arah kestabilan politik negara apabila Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara pembangkang utama, iaitu Pakatan Harapan dengan Perikatan Nasional (PN). PH merupakan blok pembangkang terbesar negara manakala parti pembangkang bukan di bawah PH seperti Pejuang dan Warisan belum lagi dilibatkan sama.
Inti pati persefahaman tersebut ialah tidak ada campur tangan politik PH sekiranya terdapat pergolakan dalaman PN berlaku. Dengan kata lain, PH tidak akan mengambil kesempatan daripada pergolakan politik dalaman PN. Hal ini kerana parti UMNO dan Bersatu dilihat dalam fasa peralihan pemulihan hubungan yang dikatakan dingin apabila menjatuhkan kepimpinan Muhiyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan ini tidak mustahil pula berlaku, jika pergolakan dalaman berlaku dalam UMNO, usaha menjatuhkan Ismail Sabri dijangka boleh juga berlaku.
Maka, persefahaman ini memastikan urusan dalaman PN tertakluk kepada ruang dalaman mereka sahaja tanpa melibatkan sekutu atau kerjasama pihak luar. Pada masa yang sama, PH juga tidak akan menolak undi usul penting seperti undi belanjawan 2022, kerana kesannya sangat besar kepada kedudukan PN sendiri sehingga boleh mengakibatkan PN tumbang jika tanpa sokongan majoriti. Undang-undang perbekalan atau kewangan akan turut disokong PH sekiranya terlebih dahulu dirunding dan dipersetujui bersama di antara kedua-dua pihak. Di sinilah peranan PH sama ada akan menyokong atau berkecuali dalam mana-mana rang undang-undang.
Sudah pasti ini, membawa tafsiran bahawa dengan kedudukan yang mempunyai 114 buah kerusi parlimen tidak menjamin kerajaan PN kukuh kerana terdapat kewujudan beberapa pihak dalam PN yang mempunyai kelompok mereka tersendiri. Misalnya, kumpulan Azmin Ali dikatakan menguasai 14 ahli parlimen dan boleh mengakibatkan PN tumbang sekiranya menarik sokongan terhadap PN. Begitu juga kumpulan Hamzah Zainudddin mempunyai 15 ahli parlimen yang boleh mengubah landskap politik semasa sekiranya menarik sokongan. Hal ini tidak termasuk kelompok Umno yang diketuai oleh Zahid Hamidi yang menguasai belasan ahli parlimen UMNO.
Bermakna, kelompok mana-mana pun sekiranya ada tercetus konflik dan menarik diri, maka PN akan terus ampuh dan bergerak sebagai sebuah kerajaan minoriti tanpa diambil alih oleh PH.
Pembaharuan
Namun sebagai imbangan kepada PH, maka kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan dan dasar yang pernah dikemukakan oleh PH dalam bentuk idea dan manifesto namun tidak sempat dilaksanakan apabila PH tumbang dan diambil alih oleh Muhiyiddin Yassin. Terdapat juga yang sudah dibentangkan di peringkat rang undang-undang kemudian ditarik semula seperti pengehadan jawatan perdana menteri selama 2 penggal dan undi 18. Maka, dengan semangat baharu kerjasama, pembaharuan ini perlu dikemukakan semula dan dilaksanakan.
Yang akan difokuskan ialah membentangkan RUU anti lompat parti, mempercepatkan pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik serta usaha pindaan Perlembagaan hadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun dan kesemua ini perlu dilaksanakan pada separuh pertama 2022 pada penggal ke-5 parlimen.
Jawatankuasa persefahaman ini diwakili oleh lima wakil kerajaan dan lima wakil pembangkang dan beriktiar akan mengadakan pertemuan dua kali sebulan bagi memastikan kesemua idea dan langkah dipersetuju bersama dapat dipantau. Perjanjian ini dibuat secara bertulis dan apa-apa persetujuan lisan dianggap tidak sah. Begitu juga, apa-apa sebarang perlanggaran terhadap persetujuan akan menyebabkan persefahaman ini terpecah secara automatik.
Pembaharuan Parlimen
Berdasarkan memorandum ini terdapat beberapa perkara yang akan dilaksanakan seberapa segera berkaitan dengan pembaharuan parlimen termasuklah, keadilan terhadap segala bentuk jawatankuasa. Dengan ini, penstrukturan semula jawatan kuasa akan dilakukan manakala jawatan kuasa baru juga diwujudkan dan penyertaan pelbagai perwakilan parti dari segi komposisi yang lebih seimbang, termasuk pengerusi-pengerusi jawatankuasa. Bagi menjayakan jawatankuasa ini maka perkhidmatan sokongan seperti staf dan dana bersesuaian juga diberikan agar jawatan kuasa ini dapat bergerak dengan baik. Mana-mana peraturan mesyurat yang lapuk, kurang sesuai akan dipinda agar perjalanan Dewan Rakyat dan Dewan Negara teratur.
Persefahaman ini juga bersetuju untuk memberikan jaminan peruntukan sama rata kepada ahli parlimen yang terlibat dalam persefahaman ini. Hal ini bermakna semua ahli parlimen PH akan mendapat peruntukan yang sama. Selagi Parti Pejuang dan Warisan yang belum menyertai persefahaman ini maka bermakna belum lagi kedua-dua parti mendapat peruntukan yang sama rata.
Di negara maju seperti di United Kingdom, Canada, New Zealand dan Australia misalnya kedudukan ketua pembangkang adalah setara dengan menteri khususnya dari segi gaji, hak dan kemudahan diterima. Malah di Australia, gaji ketua pembangkang lebih besar daripada gaji menteri sebagai mengiktiraf peranan pembangkang sebagai semak dan imbang di dewan rakyat. Persefahaman PN dan PH bersetuju memberikan situasi yang sama, iaitu meletakkan ketua pembangkang mendapat hak dan kemudahan yang sewajarnya.
Pemerkasaan pelan Covid-19
Asas kerjasama persefahaman kerajaan PN dengan PH ialah menangani pandemik Covid-19. Bagi peningkatan keberkesanan yang lebih baik maka pemerkasaan pelan fiskal perlu dilaksanakan dengan penambahan RM45 bilion untuk menguruskan segala aspek perbelanjaan melawan Covid-19.
Kedua-dua pihak bersetuju ia perlu dibentangkan untuk diluluskan bukan sahaja kepada sistem kesihatan tetapi juga bantuan kepada golongan yang terjejas dan sektor perniagaan yang melemah terutama di peringkat bawah dan sederhana,
Walaupun ahli parlimen PH mungkin tidak terlibat dengan Majlis Pemulihan Nasional, namun pencalonan dibuat oleh pihak kerajaan dan pembangkang. Pencalonan 50 peratus pakar sektor awam dan swasta adalah usaha baharu cuba dilaksanakan kerajaan walaupun di negara-negara maju lain, ia lebih kepada tugas kementerian tertentu atau kerjasama antara kementerian sahaja terlibat tanpa ada nama majlis pemulihan atau sebagainya.
Ekonomi Rakyat
Persefahaman ini juga bersetuju untuk menyalurkan bantuan tunai RM10 bilion kepada 11 juta penerima dan diteruskan pada tahun depan dan usaha ini menyasarkan golongan B40 dan M40 yang hilang punca pekerjaan dan pada masa yang sama sama Dana Kumpulan Wang Covid-19 akan dimanfaatkan bagi insentif pengambilan pekerja dan membantu perusahaan kecil dan sederhana. Berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963, masih lagi kabur kerana perunding pihak kerajaan meminta ditulis secara ringkas.
Hal ini bermakna, persefahaman kerajaan PN dan PH perlu memperincikan lagi segala yang dibincangkan agar bukan sahaja kedua-dua pihak berpuas hati, akan tetapi memberikan hak dan keadilan kepada rakyat tanpa mengira ideologi parti, etnik dan agama. Hal ini penting agar persefahaman ini benar-benar dapat memberikan manfaat terbesar kepada rakyat di negara ini. Namun peranan PH tetap menjadi pembangkang dan mengambil peranan semak dan imbang memastikan pentadbiran negara yang lebih baik dan demokratik.