SARIKEI: Persediaan mencukupi sebelum banjir melanda merupakan kunci kepada untuk mengurangkan kerosakan akibat banjir.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, PKPjB Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, peranan komuniti itu sendiri adalah paling penting bagi mengurangkan kerosakan akibat banjir.
“Komuniti memainkan peranan penting kerana respon dan tindakan bijak mereka dapat mengurangkan impak semasa bencana banjir.
“Pasukan-pasukan penyelamat akan sentiasa siap sedia dengan aset, logistik dan peralatan pelindung diri (PPE) kami.
“Kerjasama antara pihak bomba dan komuniti penting bagi mengurangkan impak bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Jelasnya, JBPM Negeri Sarawak telah bersedia dari segi kekuatan personel dan logistik bagi menghadapi bencana banjir.
“Dari segi kekuatan personel, seramai 1,194 pegawai bomba (PSM), 230 pegawai bomba bantuan (PBB), 53 pasukan bomba sukarela (PBS) yang terdiri dari 2,259 orang penduduk, 7,453 peserta bomba komuniti dari 779 program bomba komuniti, 55 pasukan terdiri dari 10,107 peserta CERT dan 820 peserta dari 21 program Summer Camp SSGP bersiapsiaga menghadapi bencana banjir.
“Sari segi logistik, setakat 17 November 2020, JBPM Negeri Sarawak telah menyediakan sebanyak 16 unit lori, 78 unit utiliti, 50 buah utiliti marin, 363 Personal Floating Device (PFD), 168 baju hujan, 65 ‘chainsaw’ dan satu unit helikopter jenis AW189 dan Regional Forward Base (RFB) berpengkalan di Kuching, Sibu dan Miri,” ujarnya.
Jelasnya, RFB di Kuching, Sibu dan Miri adalah untuk gerak atur aset air dan darat dalam respon di lokasi.
“Setiap kawasan kita telah kenalpasti berkaitan risiko banjir dan banjir kilat.
“Ada lebih kurang 600 Pusat Permindahan Sementara dikenalpasti dan Forward Operating Base untuk bekalan makanan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, fasa peralihan monsun timur laut bermula pada November 2020 hingga Mac 2021.
“Pada tahun 2016 hingga tahun 2020 (setakat 17 November 2020) sebanyak 21 operasi pemindahan oleh bomba.
“Ia melibatkan 27 pusat pemindahan, 551 keluarga dan seramai 2,459 mangsa banjir,” ujar beliau.
Oleh EARL ANEK