
KUCHING: Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) melangkah ke era digital dengan pelancaran laman web rasminya, sekali gus memperkukuh peranan organisasi itu dalam memperkasa wanita, khususnya dalam aspek literasi digital dan penyampaian maklumat yang sahih.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, dalam era digital masa kini, sesebuah organisasi perlu mempunyai platform digital rasmi bagi menyampaikan maklumat yang sahih kepada orang awam.
“Laman web menjadi pusat rujukan utama untuk menyampaikan maklumat yang tepat, berinteraksi dengan pihak berkepentingan serta melindungi masyarakat daripada maklumat palsu dan penipuan.
“Usaha SIWA mendigitalisasikan organisasi itu selari dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang menekankan literasi digital, keusahawanan serta penglibatan wanita dalam ekonomi moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi SIWA di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Beliau turut memuji sumbangan SIWA yang telah lebih dua dekad berperanan meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keyakinan wanita India di Sarawak, selain menyifatkan pelancaran laman web itu sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh kredibiliti institusi tersebut.
“Program, pencapaian dan kisah komuniti yang dilaksanakan SIWA wajar didokumentasikan dan diakses oleh umum. Ketelusan ini akan membina kepercayaan serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas,” jelasnya.
Beliau juga menyambut baik inisiatif SIWA dalam membangunkan produk berasaskan pengetahuan dan harta intelek sebagai pendekatan mampan menjana pendapatan, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Apabila organisasi menjadi lebih berdikari, ia bukan sahaja membantu kelangsungan mereka, malah menyokong usaha kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada lebih banyak kumpulan yang memerlukan.
“Saya berharap laman web SIWA akan menjadi platform untuk memperluas jaringan, mempromosikan inisiatif serta menjalin kerjasama di peringkat tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh ekosistem kerjasama antara komuniti dan kerajaan dalam memperkasa wanita dan keluarga di Sarawak,” ujarnya.
Inisiatif pendigitalan itu selari dengan usaha kerajaan memperkasa wanita melalui peningkatan literasi digital dan penyampaian maklumat yang lebih telus.
Oleh Masrin Affirah