
SPAOH: Persatuan Tuai Rumah Panjang di bahagian ini berpotensi memainkan peranan penting dalam memelihara dan mempromosikan ‘keresa pesaka’ (warisan budaya) komuniti Iban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata antaranya ialah tradisi lisan berbiau, beganu, pengap, berpantun, ngajat dan seni mempertahankan diri iaitu Kuntau.
“Usaha mesti dilakukan bukan sahaja untuk memelihara tetapi mempromosikannya terutamanya dalam kalangan generasi baharu.
“Saya harap ketua-ketua rumah panjang kita dapat tampil dengan program-program yang berkaitan bagi menjayakan perkara ini. Ayuh sambutan Gawai Dayak belia kita boleh membuat persembahan yang menampilkan bakat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis Pra Gawai Dayak anjuran bersama Persatuan Tuai Rumah Panjang Spaoh dan Komuniti Spaoh Paku Madani, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata aktiviti kebudayaan itu juga mempunyai tarikan tersendiri dalam dunia pelancongan.
“Betong kini semakin dikaitkan dengan dunia luar melalui Lebuh Raya Pan Borneo dan lain-lain, tidak lama lagi siapnya Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling.
“Mari kita memanfaatkan sektor pelancongan kita. Dalam majlis ini juga saya ingin mengumumkan di sini bahawa tender untuk pembinaan Replika Kubu Rentap, pahlawan legenda Iban yang berjuang menentang pentadbiran Rajah Putih akan dikeluarkan dalam masa beberapa bulan lagi.
“Projek ini dijangka menelan belanja sebanyak RM16 juta untuk pembangunan fasa pertamanya,” jelasnya.
Uggah kemudiannya mengumumkan geran berjumlah RM60,000 untuk Persatuan Tuai Rumah Panjang Spaoh untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan dan menampung perbelanjaan persatuan berkenaan.
Beliau turut mengumumkan satu lagi pemberian RM10,000 kepada kumpulan SIKAR Kuntau Bukit Saban.
Oleh Adi Safarman