
SIBU: Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Cina Swasta Sarawak menegaskan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) merupakan satu komitmen jelas dan tidak bersyarat yang telah dibuat oleh Pakatan Harapan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum lalu.
Pengerusinya, Temenggung Dato Vincent Lau berkata, persatuan tersebut merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa UEC boleh dipertimbangkan untuk diiktiraf dengan syarat prinsip bahasa Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dipatuhi.
Menurut persatuan itu, janji pengiktirafan UEC telah dinyatakan secara jelas dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan tanpa sebarang syarat berkaitan tafsiran perlembagaan.
“Selepas tiga tahun memegang tampuk pemerintahan, mandat yang diberikan oleh pengundi adalah berasaskan kepercayaan terhadap janji tersebut. Namun begitu, kelewatan berterusan serta ketiadaan tindakan konkrit oleh Kerajaan Persekutuan telah menjejaskan keyakinan awam dan jauh daripada harapan rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma Huawen Du Zhong di sini, hari ini.
Persatuan itu turut menegaskan bahawa isu pengiktirafan UEC bukanlah isu teknikal atau perundangan, sebaliknya merupakan soal keazaman politik.
“Ia bergantung kepada sama ada Kerajaan Persekutuan benar-benar mengiktiraf kedudukan pendidikan bahasa Cina sebagai setara serta bersedia menunaikan janji kepada pengundi. Ini bukan soal ‘boleh atau tidak’, tetapi ‘mahu atau tidak’,” ujarnya.
Katanya, UEC telah wujud lebih 50 tahun dan pengiktirafannya merupakan satu keputusan politik yang berada sepenuhnya dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, termasuk dari segi pindaan perundangan, penyelarasan dasar dan pelaksanaan.
“Namun sehingga kini, tiada sebarang kemajuan substantif dicapai,” jelasnya.
Persatuan tersebut juga menegaskan bahawa sekolah-sekolah Cina sentiasa mematuhi dasar pendidikan kebangsaan, dengan bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran teras wajib.
“Graduan daripada semua aliran pendidikan mempunyai penguasaan bahasa kebangsaan. Perbezaan tahap penguasaan individu tidak menjejaskan perpaduan nasional. Justeru, pengiktirafan UEC sama sekali tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan menyifatkan alasan perlembagaan yang sering digunakan sebagai justifikasi untuk tidak bertindak sebagai tidak meyakinkan, khususnya apabila kerajaan Sarawak sendiri telah mengiktiraf UEC.
“Untuk menyatakan pengiktirafan tersebut sebagai tidak berperlembagaan adalah bercanggah dengan realiti politik dan pentadbiran,” tegasnya.
Persatuan itu menggesa Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan supaya menamatkan kelewatan serta alasan berulang, sebaliknya mengambil tindakan tegas dengan mengiktiraf UEC sepenuhnya.
“Retorik tanpa tindakan hanya akan terus meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat dan menghakis keyakinan terhadap kerajaan,” kata beliau.
Oleh Akun Giman