
KUCHING: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kuching dan Samarahan telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-48 dengan jayanya semalam, yang membincangkan pelbagai isu penting berkaitan kebajikan dan masa depan ahli.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan tersebut, mereka menyuarakan kebimbangan terhadap pengenaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat, yang dijangka memberi kesan negatif terhadap sentimen perniagaan dan memperlahankan aktiviti perdagangan.
“Semua ahli dinasihatkan agar meneliti dan mengurus paras stok masing-masing dengan lebih berhati-hati sebagai langkah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kelembapan perniagaan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Tambahnya persatuan turut merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar mengkaji semula pelaksanaan e-invois bagi perniagaan dengan perolehan tahunan antara RM150,000 hingga RM500,000.
“Ramai peniaga kecil dan penjaja berdepan cabaran dalam penggunaan sistem digital berikutan kekurangan kemahiran dan sumber.
“Keperluan ini, jika diteruskan, bakal menjadi beban tambahan kepada perniagaan kecil yang sedia beroperasi dengan margin keuntungan yang rendah,” katanya.
Katanya, persatuan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas pelaksanaan Bantuan Makanan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) buat kali pertama.
“Bantuan bernilai antara RM250 hingga RM800 mengikut kategori ini disifatkan amat membantu peniaga kecil dan penjaja dalam menghadapi tekanan kos hidup yang semakin meningkat.
“Kami menyambut baik pengumuman bahawa pendidikan tinggi akan diberikan secara percuma di universiti dan kolej milik kerajaan negeri bermula 2026.
“Perkara ini dilihat sebagai langkah bijak yang akan meringankan beban kewangan ahli Persatuan dan memberi lebih peluang kepada anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya.
Persatuan turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan para ahli serta memastikan suara komuniti penjaja dan peniaga kecil terus didengari dalam setiap dasar yang dilaksanakan.