
SARIKEI: Peranan aktif persatuan peniaga kopi dan restoran terus diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi dan pembentukan identiti komuniti.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata industri kopi dan restoran memainkan peranan besar dalam menjana ekonomi tempatan khususnya dalam menyokong perusahaan kecil dan sederhana.
“Sektor makanan dan minuman bukan sahaja memenuhi keperluan harian masyarakat, malah menjadi medium penting pertukaran budaya pelbagai kaum dan mencerminkan identiti unik Sarikei sebagai bandar perdagangan yang aktif.
“Perkembangan ini memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, khususnya peniaga kecil yang kini menikmati peningkatan jumlah pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-68 Persekutuan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarikei, baru-baru ini.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, dengan siapnya pembinaan jalan utama dan jambatan yang menghubungkan Sarikei ke Tanjung Manis pada Mac 2025, ia telah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan aliran pengunjung, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti peniaga tempatan.
“Bidang pendidikan kekal menjadi keutamaan saya melalui pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melibatkan penambahbaikan kemudahan sekolah serta bantuan kepada pelajar seperti beg sekolah, pakaian seragam dan kasut.
“Usaha memperkukuh kemudahan pendidikan merupakan langkah penting dalam melahirkan generasi berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan berwawasan dalam memastikan dasar pembangunan negeri dilaksanakan secara stabil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarikei serta RM10,000 kepada Persekutuan Persatuan Peniaga Kopi dan Restoran Sarawak sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan industri tersebut.
Tiong Sii berharap sumbangan tersebut dapat membantu memperkukuh peranan persatuan dalam memperkasa komuniti peniaga dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat secara berterusan.
Oleh Earl Anek