
MARUDI: Program Budaya @ Komuniti “Rami OOOHAA, Marudi 2025” yang berlangsung meriah di Dataran Marudi malam tadi menyaksikan Persatuan Kenyah Sarawak Cawangan Marudi dinobatkan sebagai juara Pertandingan Perarakan Budaya, mengetepikan 15 peserta lain yang terdiri daripada pelbagai persatuan, pertubuhan dan komuniti tempatan.
Kampung Pemindahan muncul sebagai naib juara, manakala tempat ketiga disandang oleh Persatuan Kelabit Sarawak Cawangan Marudi, sekali gus menyerlahkan kekayaan budaya dan semangat perpaduan masyarakat setempat.

Sebanyak 16 kumpulan menyertai pertandingan ini, antaranya Jabatan Sukarelawan RELA Marudi, JKKK Kampung Narum, Serakup Induk Dayak Sarawak Pampang, Persatuan Lakiput (Si Lau Maken), PERKEP Marudi, Kelab Klinik Kesihatan Marudi, Persatuan Kayan Sarawak Cawangan Marudi dan banyak lagi menjadikan perarakan ini antara yang paling berwarna-warni dan bersemangat pernah dianjurkan di daerah ini.
Sementara itu, dalam Pertandingan Bakat Marudi, Joycelyn Baun Candy berjaya menawan hati juri dan diumumkan sebagai juara, diikuti Katelyn Alih di tempat kedua dan Martha Palan di tempat ketiga.
Dalam Pertandingan Busana Tradisional, kategori lelaki dimenangi oleh Lazarus Francis, manakala Masri Usan dan Bavter Ongy Jimbai masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Kategori wanita pula menyaksikan Eybonny Lawai dinobatkan sebagai pemenang, diikuti Rahel Anania dan Veronica Telen.
Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai, sijil penyertaan dan pingat, yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala, serta Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Razi Omar.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengangkat seni budaya tempatan ke pentas lebih tinggi, malah membuktikan bahawa warisan dan identiti masyarakat harus terus disemarakkan untuk generasi masa depan.
Oleh Jiku Juguong