LAWAS: Persatuan Kedayan Lawas membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang individu dalam akaun Facebook atas nama Takuyung Siruk yang memburukkan masyarakat Kedayan Lawas.
Pengerusi Persatuan Kedayan Lawas Haris Majid bersama rakan-rakan Semboyan Lawas membuat laporan polis di Balai Polis Lawas hari ini.
Haris berkata, tindakan biadap pemilik akaun berkenaan menimbulkan kemarahan orang ramai termasuk masyarakat lain di Lawas kerana memburukkan masyarakat kaum Kedayan.
Beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun berkenaan untuk peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak bermain dengan sentimen perkauman di Lawas.
Kenyataan memburukkan masyarakat Kedayan itu adalah ketika berlangsungnya majlis Makan Tahun Perdana Persatuan Kedayan Lawas pada Jumaat hingga Ahad, 27 November lalu.
Majlis yang dihadiri ribuan masyarakat Kedayan dari Miri, Wilayah Persekutuan Labuan, Limbang, Sabah dan Lawas itu sendiri berlangsung meriah dengan pelbagai acara menarik, berjaya diadakan.
Acara Makan Tahun Perdana Persatuan Kedayan Lawas adalah acara yang saban tahun dinantikan oleh warga Lawas khususnya dari kaum-kaum lain yang turut sama merasai kemeriahan majlis itu.
Oleh ADENG EDRUS