Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Persatuan Kebajikan Harapan Kuching salur bantuan kepada enam sekeluarga di Siol Kandis
  • TEMPATAN

Persatuan Kebajikan Harapan Kuching salur bantuan kepada enam sekeluarga di Siol Kandis

Utusan Sarawak 5 hours ago
WAKIL Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) Kuching menyampaikan bantuan berupa lampin dewasa, susu khas serta sebuah katil perubatan kepada Kinta Meran, yang kini terlantar akibat strok, di kediamannya di kawasan setinggan Siol Kandis, Petra Jaya.

PETRA JAYA: Seorang ibu yang menetap di kawasan setinggan di Siol Kandis, di sini, kini terlantar akibat strok, sekali gus menjejaskan kehidupan sekeluarga enam orang, terutama dari segi kewangan dan penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK), wanita terbabit, Kinta Meran, 63, sebelum ini bekerja sebagai buruh ladang sawit, mengalami strok separuh badan pada Oktober lalu sebelum dimasukkan ke hospital dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada awal Januari tahun ini.

Katanya, akibat strok tersebut, Kinta Meran kini terlantar sepenuhnya, tidak mampu bergerak atau bertutur serta bergantung kepada pemakanan melalui tiub, selain perlu diberikan susu khas setiap tiga jam.

“Kinta kini dijaga oleh anak perempuannya, Suzanna, 40, yang tinggal bersama suami dan tiga anak mereka berusia antara enam hingga 17 tahun. 

“Bagi menampung perbelanjaan harian keluarga, Suzanna melakukan kerja sambilan membantu sebuah perusahaan bakeri dari rumah menghasilkan kek lapis. 

KEADAAN Kinta Meran, yang terlantar sakit dan bergantung sepenuhnya kepada penjagaan keluarga serta bantuan kebajikan susulan strok separuh badan yang dialaminya sejak Oktober lalu.

“Suaminya, Stevin, pula bekerja sebagai anggota RELA dengan pendapatan secara harian, menyebabkan beban kewangan keluarga semakin bertambah, terutama bagi menampung keperluan perubatan Kinta dan kos persekolahan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan. 

Keluarga tersebut menetap di sebuah rumah uzur yang dibina daripada papan kayu di kawasan setinggan, dengan keadaan persekitaran yang serba kekurangan, sekali gus menyukarkan penjagaan kesihatan Kinta.

Susulan keadaan itu, seorang pegawai kerja sosial dari Klinik Kesihatan Petra Jaya telah menghubungi PKHK bagi mendapatkan bantuan untuk keluarga berkenaan.

PKHK menyalurkan bantuan berupa lampin dewasa dan susu khas bagi keperluan harian Kinta. Selain itu, seorang penderma prihatin turut menyumbangkan sebuah katil perubatan yang dihantar terus ke kediaman keluarga berkenaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menghulurkan sumbangan boleh menghubungi PKHK di talian 082-505987 atau 013-5672775.

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 511289001160, atau melalui kod QR Sarawak Pay / S PAY GLOBAL yang boleh didapati di laman Facebook rasmi pertubuhan berkenaan. Resit sumbangan akan dikeluarkan atas permintaan.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Wilfred Yap desak tindakan pantas polis susulan vandalisme di Taman Rekreasi Lorong 2
Next: Jamuan perpisahan penuh makna iringi perpindahan Apai Jo ke Sibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.