
Keadaan bangkai pesawat Air India 171 yang terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang Ahmedabad. - AFP
NEW DELHI: Dua persatuan juruterbang komersial utama menolak dakwaan bahawa kesilapan manusia menjadi punca nahas pesawat Air India yang meragut 260 nyawa selepas laporan siasatan awal mendapati suis bahan api enjin pesawat itu ditutup.
Laporan yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) India pada kelmarin itu tidak membuat sebarang kesimpulan atau menyalahkan mana-mana pihak berhubung tragedi pada 12 Jun lalu, namun mendedahkan seorang juruterbang ada bertanya kepada rakan juruterbangnya mengapa dia menutup suis bahan api dan juruterbang kedua menjawab bahawa dia tidak melakukannya.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai perbualan dalam kokpit itu didedahkan.
Persatuan Juruterbang Komersial India (ICPA), dalam kenyataan berkata, pihaknya terganggu dengan naratif spekulatif terutamanya dakwaan liar dan tidak berasas mengenai kemungkinan tindakan bunuh diri oleh juruterbang.
“Tiada sebarang asas untuk dakwaan sedemikian pada peringkat berkenaan dan ia adalah sangat tidak sensitif kepada individu dan keluarga yang terbabit.
“Sebarang cadangan secara sambil lewa bahawa juruterbang membunuh diri tanpa bukti sahih adalah satu pelanggaran etika pelaporan dan menjejaskan maruah profesion juruterbang,” katanya.
Laporan awal itu mencetuskan spekulasi beberapa pakar penerbangan bebas bahawa tindakan sengaja atau tidak sengaja oleh juruterbang mungkin menjadi punca pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London itu terhempas sejurus berlepas dari Ahmedabad, di barat India.
ICPA merujuk kepada pandangan beberapa pakar penerbangan yang menyatakan suis kawalan bahan api enjin hanya boleh digerakkan secara sengaja dan manual.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan India (ALPA India), Sam Thomas, dalam kenyataan berkata, agensi penyiasat bersikap tertutup dalam siasatan berkenaan dan individu yang benar-benar layak tidak terbabit dalam siasatan itu.
“Kami merasakan siasatan berkenaan dijalankan dengan andaian untuk menyalahkan juruterbang dan kami membantah sekeras-kerasnya cara fikir sedemikian,” katanya.
ALPA yang mempunyai 100,000 ahli di seluruh dunia turut memohon kepada AAIB supaya persatuan itu dipanggil sebagai pemerhati bagi memastikan ketelusan dalam siasatan kes berkenaan.
Daripada keseluruhan 242 penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan, hanya seorang penumpang terselamat apabila pesawat itu terhempas di kawasan perumahan di Ahmedabad, yang turut menyebabkan 19 penduduk di sekitar kawasan nahas, terkorban. – AFP