
LIMBANG: Persatuan Buddha Limbang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni lebih 30 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tahun Baharu Cina 2026 persatuan itu, Tan Guek Yan berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi kegembiraan kepada pelatih PPDK malah memupuk semangat kasih sayang, keprihatinan dan sikap cakna terhadap golongan yang memerlukan.
“Majlis ini diadakan sebagai simbolik semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya. Pada masa sama, ia menyantuni anak-anak PPDK sekali gus menyuburkan semangat membantu yang menjadi teras kekuatan negara,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Menurutnya, selain memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, program itu merupakan antara aktiviti yang dianjurkan persatuan berkenaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira kaum dan agama.
“Program ini adalah salah satu pendekatan proaktif persatuan untuk merapatkan hubungan dengan komuniti setempat di samping membantu golongan sasar,” katanya lagi.
Pada majlis tersebut, kesemua 30 pelatih menerima sumbangan masing-masing dan turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa.
Oleh Adeng Edrus