
KABONG: Persatuan Anak Kabong (PAK) telah tampil membantu mangsa kebakaran di Kampung Hulu Sessang di sini semalam, sekali gus meringankan beban keluarga yang terjejas.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PAK, Nor-E-Fadzwie Salleh kepada pemilik rumah, Zaini Peli, dalam satu majlis ringkas namun penuh makna.
Nor-E-Fadzwie berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada komitmen PAK untuk sentiasa hadir dalam membantu komuniti, terutama ketika menghadapi musibah.
“PAK memahami kesusahan yang dialami mangsa kebakaran ini dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban serta memberi semangat kepada mereka,” katanya.
Majlis ringkas itu turut dihadiri Setiausaha PAK, Samasu Johari serta Ahli Jawatankuasa PAK, Shutigkno Boom yang sama-sama menyatakan sokongan padu kepada mangsa.
PAK menggesa orang ramai dan komuniti tempatan supaya bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam menghadapi kesusahan.
Terdahulu, dalam kejadian kebakaran 17 Januari lalu, sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila kediaman dua tingkat milik mereka di Kampung Hulu Sessang musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi.
Dalam kejadian sekitar 7.00 pagi itu, rumah separuh kekal berkenaan dilaporkan hangus terbakar 100 peratus.
Bagaimanapun, semua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak sepenuhnya, sekali gus mengelakkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Oleh Adi Safarman