BINTULU: Penaiktarafan perpustakaan sekolah dan pembinaan Sudut Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SMK Asyakirin di sini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inovatif serta bersedia menghadapi cabaran pendidikan masa depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perpustakaan sekolah kini bukan lagi sekadar tempat meminjam buku, sebaliknya berkembang menjadi hab pembelajaran digital moden yang menyokong pembelajaran kendiri dan kolaboratif.
Menurutnya, kemudahan itu turut menyediakan ruang bacaan interaktif, kawasan pembelajaran kolaboratif, sumber rujukan STEM, kemudahan teknologi maklumat serta pelbagai sumber digital yang mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.
“Saya yakin kemudahan ini akan membawa manfaat besar dalam memupuk budaya membaca yang lebih kukuh, meningkatkan minat terhadap pendidikan STEM, memperluas penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran, menggalakkan pembelajaran kolaboratif serta memperkukuh kerjasama antara sekolah, komuniti dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee, pada majlis perasmian Perpustakaan Sekolah dan Sudut STEM SMK Asyakirin di sini, hari ini.
Tambahnya, kemudahan berkenaan juga diharap mampu melahirkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) serta perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Yang lebih penting, kemudahan ini mampu melahirkan pelajar berpengetahuan, kreatif, inovatif dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Asyakirin, Ralph Rampai Malong berkata, kejayaan mentransformasikan perpustakaan sekolah itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti mampu mempercepat pembangunan infrastruktur pendidikan.

Menurutnya, penglibatan rakan strategik seperti Sakura Ferroalloys Sdn Bhd, Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Bintulu Port Holdings Berhad dan AML Shipping Sdn Bhd melengkapkan usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti kemudahan pembelajaran.
“Pembiayaan awam kekal menjadi asas pembangunan sekolah kami.
“Namun dalam era moden ini, kemajuan sebenar dapat dipercepatkan apabila sokongan kerajaan bergerak seiring dengan jaringan strategik sektor korporat serta penglibatan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, pihak sekolah berharap kerjasama strategik itu dapat diteruskan bagi merealisasikan lebih banyak projek pembangunan pada masa hadapan, termasuk pembinaan grandstand dan laluan berbumbung untuk kemudahan pelajar.
Oleh Carolyne Utih





