Perpustakaan Awam Niah perlu diperkasa sebagai pusat ilmu, pembangunan komuniti

Facebook
WhatsApp
RASMI... Datuk Rosey Yunus memotong riben simbolik perasmian Perpustakaan Awam Niah, hari ini.

NIAH, 16 November: Perpustakaan Awam Niah diharap dapat terus diperkasakan sebagai pusat ilmu, pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan komuniti, sejajar dengan perkembangan teknologi serta keperluan masyarakat masa kini.

Perpustakaan bukan lagi sekadar tempat membaca buku, sebaliknya perlu berperanan sebagai pusat akses maklumat digital, ruang pembelajaran kreatif dan platform untuk mengembangkan potensi masyarakat daripada pelbagai lapisan umur.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Awam Niah di sini, hari ini.

Menurutnya, masyarakat setempat khususnya kanak-kanak, golongan remaja, pelajar, warga emas dan keluarga digalakkan memanfaatkan kemudahan perpustakaan sebagai tempat menimba ilmu, mengembangkan bakat serta meningkatkan keyakinan diri.

“Dalam usaha membudayakan amalan membaca, ibu bapa turut diseru memainkan peranan penting dengan memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak kecil.

“Amalan membaca tidak seharusnya terhad kepada keperluan peperiksaan atau tugasan sekolah, sebaliknya perlu dijadikan rutin harian dan sebahagian daripada gaya hidup,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menambah, generasi muda yang membesar dengan budaya membaca berupaya membina asas pengetahuan yang lebih luas, meningkatkan daya pemikiran kritis serta mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan.

Selain itu, kerjasama antara pihak sekolah, persatuan penduduk, ketua masyarakat dan agensi kerajaan dengan pihak perpustakaan juga penting bagi menjayakan pelbagai program pendidikan, pertandingan membaca, aktiviti kreatif serta pembangunan komuniti.

Dalam aspek transformasi digital pula, Perpustakaan Awam Niah diharap dapat dilengkapi dengan kemudahan bersesuaian seperti akses internet, bahan bacaan elektronik dan program literasi digital.

Kemudahan berkenaan penting bagi memastikan masyarakat di kawasan Niah turut menikmati peluang pembelajaran dan akses maklumat setanding dengan penduduk di kawasan bandar.

Usaha memperkasakan perpustakaan bukan sahaja dapat meningkatkan budaya ilmu, malah menjadi pendekatan penting bagi memastikan tiada golongan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan teknologi dan pendidikan.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu dan ahli-ahli Majlis Daerah Subis.

Oleh Adum Liu