

Majlis Makan Malam Penghargaan sempena perpisahan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok, semalam. Foto: Pusat Khidmart ADUN Kalaka
SARATOK: Suasana penuh emosi menyelubungi Majlis Makan Malam Penghargaan sempena perpisahan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok, Napsiah Mohamad Dee, sebagai tanda mengenang jasa dan sumbangan beliau sepanjang 14 tahun menabur bakti di sekolah berkenaan.
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh kekeluargaan itu menjadi wadah penghargaan warga sekolah terhadap komitmen serta dedikasi beliau dalam mendidik dan membimbing pelajar, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan akademik dan sahsiah SMK Agama Saratok.
Dalam ucapan Pengetua SMK Agama Saratok, Abdul Rahman Abing merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keikhlasan dan kesungguhan Napsiah yang disifatkan sebagai seorang pendidik berdedikasi serta sentiasa komited melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Menurut beliau, sumbangan Napsiah bukan sahaja terserlah dalam bilik darjah, malah turut dirasai melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program sekolah yang memberi impak positif kepada pembangunan holistik pelajar.
Sementara itu, Napsiah kelihatan sebak dan terharu ketika menyampaikan ucapan perpisahan, tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu mengenangkan perpisahan dengan rakan-rakan guru serta staf sekolah yang telah dianggap seperti keluarga sendiri.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pentadbir, para guru, kakitangan sokongan dan para pelajar atas kerjasama, sokongan serta kenangan indah yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatannya di SMK Agama Saratok.
Menurutnya, pengalaman berkhidmat di sekolah tersebut akan terus terpahat dalam ingatan dan menjadi kenangan bermakna dalam perjalanan kerjaya sebagai seorang pendidik, meskipun bakal memulakan fasa baharu di tempat lain.
Untuk rekod, Napsiah akan berpindah ke SMK Mukah bermula sesi persekolahan tahun hadapan.
Hadir sama Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahmad Diwi Deli, sekali gus menambah makna kepada majlis penghargaan yang berlangsung dalam suasana penuh kenangan.
Oleh Adi Safarman