MIAMI, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps menyifatkan pengalamannya membimbing skuad kebangsaan sepanjang kempen Piala Dunia sebagai satu “pengembaraan yang benar-benar indah” ketika mengucapkan selamat tinggal selepas 14 tahun penuh gemilang menerajui Les Bleus.
Deschamps membawa Perancis muncul juara Piala Dunia di Moscow pada 2018, sekali gus menjadi antara hanya tiga individu yang pernah menjulang trofi itu sebagai pemain dan juga jurulatih.
Beliau kemudian membawa Les Bleus mara ke final di Doha pada 2022, namun tewas kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti.
Walaupun memulakan kempen Piala Dunia 2026 di Amerika Utara dengan cemerlang, Perancis dikecewakan Sepanyol 2-0 pada aksi separuh akhir.
Selepas tewas 6-4 kepada England dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pagi tadi, yang menyaksikan mereka ketinggalan 4-0 pada separuh masa pertama sebelum bangkit merapatkan jurang, Deschamps berkata kejohanan kali ini tetap menjadi pengalaman yang cukup bermakna bersama pemain dan barisan kejurulatihannya.
“Dari sudut kemanusiaan, ia benar-benar satu pengembaraan yang indah bersama mereka.
“Lapan minggu yang kami lalui bersama sejak permulaan persiapan merupakan tempoh yang sangat bermakna,” katanya.
Dari aspek prestasi, jurulatih berusia 57 tahun itu mengakui tetap kecewa kerana skuadnya memasuki kejohanan dengan cita-cita yang tinggi, namun gagal mencapai sasaran.
“Kami berjaya melakukan banyak perkara yang positif. Kami gagal dalam perlawanan menentang Sepanyol, dan mereka beraksi pada tahap yang sangat tinggi ketika menentang kami,” katanya.
Ketika bersedia menyerahkan tugasnya, yang hampir pasti akan diambil alih legenda Perancis, Zinedine Zidane, Deschamps yakin masa depan skuad kebangsaan itu kekal cerah.
“Terdapat ramai pemain muda yang akan terus berkembang, dan kami mempunyai bakat untuk terus meraih keputusan yang sangat baik,” katanya. – AFP




