Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Perpecahan rumah panjang sukarkan pemulihan, penempatan semula
  • WILAYAH

Perpecahan rumah panjang sukarkan pemulihan, penempatan semula

Utusan Sarawak 15 hours ago
Dr Rundi menyerahkan geran MRP kepada para penerima dalam majlis berkenaan. Foto: Carolyne Utih

BINTULU: Komuniti rumah panjang digesa agar tidak terus berpecah kepada beberapa unit selepas berlakunya kebakaran kerana tindakan tersebut menyukarkan usaha pemulihan dan penempatan semula penduduk luar bandar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perpecahan rumah panjang memberi implikasi besar terhadap perancangan semula tapak, penyediaan bahan binaan serta penyelarasan bantuan pembangunan.

“Selepas kebakaran, rumah panjang yang asalnya satu kini berpecah kepada tiga atau empat unit. 

“Apabila ini berlaku, kita perlu mencari tanah baharu, meratakan tapak, menyediakan bahan binaan dan pelbagai keperluan lain.

“Wakil rakyat boleh membantu, namun kemampuan kami juga terhad kerana berdepan dengan banyak permintaan dalam satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa II bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena di Pejabat Pertanian Bahagian Bintulu di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut menekankan kepentingan status tanah yang jelas bagi melancarkan proses permohonan tapak pembinaan semula.

“Kalau status tanah tidak jelas, sama ada Tanah Adat (NCR), Pajakan Sementara (PL) atau Pajakan Negeri (LP), permohonan akan jadi rumit. 

“Kita perlukan pengesahan rasmi daripada Pejabat Daerah termasuk notis pengiktirafan daripada Pegawai Daerah,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, banyak permohonan tapak rumah telah diterima walaupun rumah fizikal masih belum dibina, menunjukkan keperluan kepada penyelarasan perancangan yang lebih baik.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar rumah panjang masa depan direka bentuk dengan sistem keselamatan kebakaran seperti dinding penghadang atau pemecah kebakaran untuk mengelakkan api merebak dengan pantas.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada bantuan selepas kebakaran.Kita mesti ambil langkah pencegahan dan saya sarankan supaya setiap rumah panjang ada dinding penghadang atau pemecah kebakaran,” katanya.

Beliau memberitahu, Jabatan Bomba dan Penyelamat boleh membantu memberikan panduan teknikal kepada komuniti rumah panjang bagi memastikan sistem tersebut dilaksanakan secara praktikal dan berkesan.

“Selain tindakan segera selepas kebakaran, pendidikan komuniti turut memainkan peranan penting.

“Penduduk perlu memahami bahawa perpecahan rumah panjang memberi kesan jangka panjang terhadap keutuhan komuniti serta menyukarkan usaha bantuan secara efektif,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM599,000 kepada 21 penerima yang mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO), kelab dan persatuan.

Oleh Carolyne Utih

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kunjungan Gawai Dato’ Sri Doris di Rumah Peny Ngau, Melugu
Next: Tradisi ‘ngabang’ jadi kelaziman masyarakat Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.