
KUCHING: Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan fokus utama kepimpinan baharu sayap itu kini adalah untuk memperkukuhkan perpaduan dalaman susulan kemasukan beberapa muka baharu dalam barisan.
Menurut beliau, beberapa ahli senior telah berundur dan digantikan dengan anggota baharu, maka keutamaan pertama ialah mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan Wanita PRS.
“Perkara paling penting bagi kami sekarang ialah untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan sendiri terlebih dahulu kerana beberapa ahli lama telah berundur dan kini kita mempunyai muka baharu dalam pasukan. Keutamaan pertama kami ialah memperkukuhkan semangat kekitaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali ke-6 PRS pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Tambah beliau, perlembagaan PRS yang baharu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) menetapkan bahawa 30 peratus daripada Ahli Biasa Majlis Tertinggi Parti mestilah terdiri daripada wanita.
“Kami berharap pelaksanaan perkara ini dapat direalisasikan tidak lama lagi.
“Malah, saya juga berharap perwakilan wanita turut diperluaskan termasuk dalam pelantikan sebagai Ahli Majlis, penglibatan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta penganugerahan dan pencalonan bagi darjah kebesaran kerajaan.
“Walaupun perkara ini tidak dinyatakan secara khusus dalam perlembagaan, saya percaya semangat 30 peratus itu wajar diperluaskan ke semua peringkat,” jelasnya.
Beliau berkata, proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak yang sedang dijalankan diharap memberi peluang kepada PRS untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu perempat daripada kerusi baharu yang bakal diwujudkan.
“Daripada jumlah itu, kami berharap Wanita PRS diberi peluang untuk menampilkan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Itulah harapan, impian dan aspirasi kami.
“Selagi saya memimpin Wanita PRS, saya akan terus bersuara sehingga penyertaan wanita dalam parti ini benar-benar dipertingkatkan dan sama rata,” tegasnya.
Berhubung barisan kepimpinan baharu, beliau berkata senarai penuh akan diumumkan selepas mesyuarat parti kerana beberapa pelantikan utama masih perlu dimuktamadkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi bagi memastikan keseimbangan pasukan.
Mengulas lanjut, barisan kali ini turut menyaksikan gabungan muka baharu dan ahli berpengalaman, namun kesemuanya dipilih secara harmoni tanpa sebarang perebutan jawatan.
Oleh Masrin Affirah