KAPIT: Perpaduan, sebagai tonik terbaik dalam membina negara bangsa, menjadi tema utama sambutan ke-100 tahun Perjanjian Perdamaian Kapit.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, menyatakan bahawa perpaduan harus diraikan dan dijadikan asas dalam kehidupan masyarakat, selaras dengan tema sambutan “Perpaduan dalam Kepelbagaian: Membina Jambatan Demi Keamanan”.
“Kita hidup aman dan saling menerima. Kepelbagaian latar belakang adalah kekuatan kita, tali yang mengikat perpaduan dan membentuk keharmonian bersama,” katanya dalam ucapannya pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 Perjanjian Perdamaian Kapit di Kubu Sylvia, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit itu berkata, perpaduan bukan sahaja relevan dalam memahami sejarah tetapi juga dalam konteks rakyat Malaysia yang semakin matang menghargai keharmonian.
“Jika perpaduan digadai, kita akan kehilangan segala-galanya.
“Malaysia menjadi contoh bagaimana kepelbagaian budaya, etnik, dan agama boleh menjadi kekuatan,” tambahnya.
Beliau turut menyanjung kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menunjukkan kematangan politik dalam merapatkan perbezaan demi kestabilan negara.
“Keperibadian dan kebijaksanaan Abang Johari membuktikan bahawa pemimpin yang berpandangan jauh mampu memodenkan negeri tanpa mengetepikan elemen adat, budaya, dan kepelbagaian etnik,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa semangat serumpun Malaysia-Indonesia menjadi contoh perpaduan serantau.
Hubungan akrab ini, ujarnya, adalah bukti bagaimana keharmonian yang dicapai Malaysia melangkaui sempadan negara.
Sehubungan itu, Nanta menyifatkan Perjanjian Perdamaian Kapit sebagai simbol perpaduan yang melangkaui masa dan geografi, menjadi inspirasi dalam usaha memelihara keharmonian negeri dan negara tercinta.
“Perpaduan dan keharmonian ini adalah kekuatan sebenar kita yang amat tinggi nilainya dan akan terus menjadi pegangan rakyat Malaysia,” tegasnya.
Oleh Akun Giman / Tarani Lanting