
SARIKEI: Perpaduan dan kerjasama masyarakat menjadi nadi utama dalam menjamin pembangunan dan kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Beliau memuji kepimpinan terdahulu dan barisan ahli jawatankuasa (AJK) baharu Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei yang berjaya menyatukan pelbagai persatuan Cina di Bahagian Sarikei dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat setempat.
“Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei merupakan platform penting dalam menyatukan kaum Cina, memelihara warisan budaya dan memupuk keharmonian masyarakat.
“Semangat perpaduan ini perlu dikekalkan bagi memastikan keharmonian sosial dan kestabilan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian ketika merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-46 Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei dan majlis pelantikan AJK baharu yang diadakan di Dewan Sentral Sarikei, baru-baru ini.
Tambahnya, sebagai wakil rakyat Sarikei dan Repok, semua kaum di kawasan ini adalah satu keluarga besar bagi beliau.
“Pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Oleh itu, saya menggesa agar masyarakat terus menyokong dasar pembangunan kerajaan Sarawak dan bersatu hati dalam memastikan kemajuan Sarikei bergerak seiring dengan aspirasi pembangunan Sarawak secara keseluruhan,” katanya lagi.
Pada majlis sama, sebagai tanda sokongan terhadap kegiatan komuniti, beliau menyumbangkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei bagi tujuan pembangunan serta pelaksanaan aktiviti sosial dan kebajikan.
Oleh Earl Anek