
SIBU: Perpaduan dan keharmonian yang dikecapi rakyat Sarawak tidak harus dipolitikkan atau digugat dengan isu-isu tidak perlu sehingga menjejaskan kepentingan masyarakat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata, kekuatan utama Sarawak terletak pada semangat muafakat rakyatnya yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.
Menurut beliau, suasana harmoni yang sekian lama terbina perlu terus dipelihara bagi menjamin kestabilan politik serta kesejahteraan negeri.
“Di Sarawak, kita melihat sendiri bagaimana rakyat berbilang kaum dapat hidup dalam keadaan bersatu padu. Nilai ini mesti terus dipertahankan.

“Kita tidak seharusnya membangkitkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan politik atau salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Wong Soon Koh, di sini hari ini.
Tiong turut menegaskan bahawa perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk mencetuskan perpecahan, sebaliknya semua pihak perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Walau apa pun parti yang kita wakili, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan. Jangan wujudkan salah faham yang tidak perlu, sama ada antara kaum mahupun merentasi platform politik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kestabilan dalaman sesebuah parti juga memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran yang mantap dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Katanya, pengalaman di Semenanjung Malaysia menunjukkan kegagalan mengekalkan perpaduan dalam parti boleh membawa kepada ketidaktentuan politik yang berpanjangan.
Sementara itu, Wong menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik konsep kepelbagaian dalam perpaduan apabila masyarakat pelbagai kaum hidup bersama dalam suasana harmoni sebagai satu keluarga besar.
Beliau berkata, budaya saling menghormati dan bekerjasama yang diamalkan sejak sekian lama menjadi asas kukuh kepada kestabilan negeri ini.
Dalam rangka lawatan Tahun Baharu Cina berkenaan, Datuk Seri Tiong King Sing turut mengadakan kunjungan ke beberapa kediaman pemimpin dan tokoh masyarakat di kawasan ini, termasuk kediaman Ahli Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Lau Khing Hung di Jalan Au Yong, diikuti kunjungan ke rumah Kapitan Tay Guan Boo di Lorong Au Yong 1 serta Anna Lau di Lorong RTM 5.
Oleh Tarani Lanting