
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyeru rakyat negeri ini agar terus memelihara semangat perpaduan, toleransi dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat Sarawak sejak sekian lama.
Beliau berkata, keamanan yang dinikmati hari ini perlu terus dipertahankan bagi memastikan Sarawak kekal sebagai negeri contoh dalam aspek keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Menurut beliau, budaya saling menghormati dan memahami antara masyarakat perlu terus diperkukuh demi menjamin kestabilan sosial serta masa depan generasi akan datang.

“Kita amat bertuah kerana rakyat Sarawak hidup dalam keadaan aman dan harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Nilai ini amat berharga dan perlu terus dipelihara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Vaisakhi 2026 yang diadakan di sini malam semalam.
Majlis anjuran Persatuan Kuil Sikh Sarawak di bawah pimpinan Presidennya, Dato Dr Khalwinder Singh Khaira itu berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan keharmonian.

Program berkenaan turut menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum serta agama dalam semangat perpaduan dan kekeluargaan yang menjadi identiti Sarawak.
Uggah dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) atas peranan aktif agensi itu dalam menyokong pelbagai aktiviti keagamaan dan kebudayaan di Sarawak.
Menurut beliau, pendekatan inklusif kerajaan Sarawak melalui UNIFOR membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan semua agama terus diberi perhatian secara adil dan saksama.
Majlis makan malam tersebut berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian Bhangra dan paluan Dhol yang menyerlahkan keunikan warisan komuniti Sikh.
Sambutan Vaisakhi yang menandakan Tahun Baharu Sikh serta memperingati pembentukan Khalsa pada tahun 1699 itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama isteri Datin Amar Enn Ong Siok Ean serta Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau.
Oleh Adi Safarman