
BINTULU: Premier Sarawak, Datuk PatinggiTan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa rakyat Malaysia menghayati nilai perpaduan, hormat-menghormati dan persefahaman yang telah membentuk negara sejak penubuhannya pada 1963.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Malaysia ke-62 yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Thanksgiving Ceremony of Other Religions bersempena dengan sambutan Hari Malaysia di sini malam tadi.
Abang Johari berkata sambutan itu mengingatkan rakyat terhadap pengorbanan para pemimpin terdahulu.
“Tahun ini tema sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, manakala untuk sambutan di Sarawak pula bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’. Ia mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat pelbagai kaum dalam membina masa depan bersama,” kata beliau.
Beliau berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal sebagai tonggak Persekutuan dan sejak 2022.
“Sehingga kini, 13 daripada 29 tuntutan yang dikemukakan oleh Sarawak dan Sabah diselesaikan, termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai jabatan teknikal.
“Selain itu, wakil Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri, kawal selia gas, serta mengembalikan Pelabuhan Bintulu,” katanya.

Abang Johari berkata kemajuan dalam bidang pendidikan dan kesihatan semakin ketara, dengan autonomi lebih luas dalam pembangunan kurikulum, pengajaran dwibahasa serta komitmen meningkatkan peruntukan kesihatan.
“Keberhasilan itu penting bagi rakyat kita dan mencerminkan kerjasama serta semangat federalisme sejati dengan komitmen kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Menyentuh mengenai transformasi ekonomi Sarawak, Premier berkata Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 menumpukan kepada ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan industri bernilai tinggi.
“Kita bukan sekadar melaksanakan perubahan, sebaliknya meletakkan Sarawak selangkah di hadapan. Strategi ekonomi dirangka bagi memastikan kemakmuran dan peluang untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira di mana mereka berada,” katanya.
Abang Johari turut memuji keunikan Sarawak yang menganjurkan majlis kesyukuran itu setiap tahun, mencerminkan keterangkuman budaya, toleransi dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang agama di negeri ini.
“Semangat perpaduan yang dilambangkan menerusi slogan ‘Segulai Sejalai’ perlu terus dipelihara. Kita perlu menolak ekstremisme dan fanatik yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian,” katanya.
-Bernama