
SEBAUH: Semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum terus menjadi tunjang kepada kestabilan serta pembangunan berterusan Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, amalan saling menghormati yang telah lama diamalkan rakyat negeri ini perlu dipelihara agar keamanan dapat terus dinikmati generasi akan datang.
Menurut beliau, sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina (TBC) mencerminkan keunikan Sarawak apabila masyarakat pelbagai kaum bersama-sama meraikannya dalam suasana penuh muhibah.

“Di Sarawak, setiap perayaan diraikan bersama.
“Inilah kekuatan kita yang menjadikan negeri ini stabil dan harmoni,” katanya ketika ditemui media semasa majlis Rumah Terbuka TBC anjuran Ahli Lembaga Pengarah Sekolah Chung San Sebauh, Pan Long Hui di sini, semalam.
Tambahnya, perpaduan masyarakat bukan sahaja penting dari sudut sosial, malah menjadi asas kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri secara menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, Stephen Rundi berkata, Sebauh kini berada pada landasan pembangunan positif dengan perancangan pembukaan kawasan pekan baharu di seberang jambatan yang dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Beliau turut menyentuh pengalaman menghadapi banjir sebelum ini dan memuji semangat kebersamaan penduduk yang saling membantu ketika berdepan situasi mencabar.
Katanya, kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh usaha kesiapsiagaan bencana termasuk menambah baik kemudahan pusat pemindahan sementara serta memastikan bantuan asas dapat disalurkan dengan lebih cekap kepada mangsa terjejas.

Menurut beliau, sambutan hangat masyarakat terhadap majlis tersebut jelas menunjukkan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat di kawasan luar bandar.
“Kita perlu terus memelihara nilai toleransi dan kebersamaan supaya Sarawak kekal aman serta terus maju,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih