
TANJUNG MANIS: Semangat perpaduan dan kerjasama antara pemimpin serta masyarakat menjadi kunci utama kepada kemajuan Sarawak, tegas Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, program pemimpin bersama rakyat bukan sekadar wadah pertemuan, tetapi platform bermakna untuk mengeratkan hubungan dua hala antara pemimpin dan rakyat, di samping mendengar secara langsung pandangan serta keperluan komuniti di peringkat akar umbi.
“Program seperti ini amat penting kerana ia memperlihatkan keakraban antara wakil rakyat dan masyarakat.
“Ia membolehkan kerajaan memahami isu di lapangan dan menyantuni rakyat secara dekat,” katanya.
Yusuf yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkata demikian ketika merasmikan program pemimpin bersama rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Sebayang, hari ini.

Beliau turut berkongsi maklumat mengenai anggaran Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM472 bilion, termasuk RM81 bilion bagi pembangunan negara.
Daripada jumlah tersebut, Sarawak menerima RM6 bilion peruntukan pembangunan, selain pemberian khas sebanyak RM600 juta.
Katanya, kerajaan Sarawak turut menyediakan Bajet 2025 berjumlah RM15.8 bilion, dengan 62 peratus daripadanya disalurkan untuk pembangunan luar bandar, selaras dengan hasrat memastikan setiap kawasan menikmati pembangunan yang seimbang.

Selain itu, Yusuf juga menekankan pelbagai inisiatif kebajikan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Kad Kenyalang Emas, bantuan ibu bersalin (BIB), bantuan bayi RM1,000, serta insentif pendidikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melalui bantuan kewangan khas dan yuran pengajian percuma menjelang 2026.
“Semua usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, di samping memperkukuh pembangunan infrastruktur dan peluang ekonomi di kawasan luar bandar,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggesa agar semua lapisan masyarakat terus menyokong dasar dan pelan pembangunan yang digariskan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kemajuan Sarawak dan kesejahteraan generasi masa depan.
Oleh Earl Anek