
LUBOK ANTU: Perpaduan teguh dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat dikenal pasti sebagai tiang seri utama bagi memastikan segala agenda pembangunan dapat digerakkan secara berkesan, khususnya demi melonjakkan sosioekonomi komuniti di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, tanpa sokongan padu dan kesepakatan daripada penduduk setempat, usaha kerajaan untuk membawa perubahan serta kemudahan infrastruktur yang lebih sempurna tidak akan mencapai matlamat yang dihasratkan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa perpaduan dan kerjasama masyarakat merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan komuniti luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rebecca, Lipat Ulu dekat sini semalam.
Mengulas mengenai keunikan dan keharmonian masyarakat Sarawak, Roy turut menggesa agar tradisi Ngiling Tikai terus dipelihara sebagai warisan budaya dan identiti masyarakat Dayak yang melambangkan kesyukuran serta kebersamaan.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti setempat, Roy turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada JKKK Rumah Rebecca di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Selain itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Biro Wanita bagi memperkasakan aktiviti golongan wanita serta RM100,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 bagi JKKK Lipat Ulu untuk menaik taraf kemudahan fizikal.
Pada majlis yang sama, Roy turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pembinaan sebuah dewan berpusat untuk kegunaan komuniti setempat serta menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang sukan sebagai platform pembangunan bakat dan masa depan.
Kehadiran beliau ke rumah panjang tersebut disambut meriah dengan penuh adat resam, memperlihatkan keakraban hubungan antara pemimpin dan rakyat yang sentiasa terjalin erat di kawasan parlimen berkenaan.
Majlis sambutan tiga dekad penubuhan JKKK tersebut berlangsung dengan penuh warna-warni dan berjaya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang cukup harmoni.
Turut hadir ialah ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum, wakil-wakil agensi kerajaan, para kaunselor, ahli-ahli JKKK, Biro Wanita serta penduduk dari kawasan Lipat Ulu dan sekitarnya.
Roy menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada JKKK Rumah Rebecca, Biro Wanita, ketua-ketua masyarakat, agensi-agensi kerajaan serta seluruh komuniti Lipat Ulu atas sambutan mesra dan kerjasama dalam menjayakan majlis ini.
Oleh Adi Safarman