
SIBU: Semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan melalui gabungan lima kelab Toastmasters di bawah satu bumbung mencerminkan kekuatan kelab tersebut dalam membentuk pemimpin dan komunikator yang berwibawa.
Lima kelab tersebut ialah Kelab Toastmasters Swan City, Kelab Toastmasters Sibu Rainbow, Kelab Toastmasters Rejang, Kelab Toastmasters The Best dan Kelab Toastmasters Dream Chasers.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kejayaan pengasas lima kelab Toastmasters di bawah kepimpinan Dr Clement Chen disifatkan sebagai jiwa dan semangat utama di sebalik keseluruhan gerakan Toastmasters di Sibu.
“Beliau ialah individu yang sentiasa memberi motivasi dan memimpin, membawa anda semua ke tahap yang ada pada hari ini. Saya mengucapkan tahniah kepada kepada lima presiden dan barisan jawatankuasa baharu atas pelantikan masing-masing,” katanya pada Majlis Pelantikan Jawatankuasa Baharu Lima Kelab Toastmasters 2025 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Katanya, pelantikan pemimpin baharu bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap kebolehan dan komitmen, tetapi juga satu tanggungjawab untuk menginspirasikan orang lain serta memacu pertumbuhan komuniti.
“Tema tahun ini, iaitu ‘Survive for Excellence’ amat bertepatan sebagai dorongan agar semua ahli terus tabah menghadapi cabaran dan mencapai tahap kecemerlangan dalam bidang komunikasi serta kepimpinan.
“Toastmasters bukan sekadar platform pembelajaran pengucapan, tetapi juga tempat untuk mengubah kehidupan manusia. Di sini, tanpa mengira umur, kerjaya atau latar belakang, setiap individu dapat mencari suara sendiri, membina kemahiran kepimpinan dan menjalin persahabatan mendalam,” ujarnya.
Wong berkata, kemahiran komunikasi yang baik amat penting dalam dunia masa kini yang pesat berubah, sama ada di tempat kerja, dalam komuniti mahupun di rumah.
“Sama ada di tempat kerja, dalam komuniti mahupun dalam keluarga, penyampaian yang jelas dan komunikasi yang ikhlas mampu menyelesaikan salah faham, menyatukan hati dan menggalakkan kerjasama,” katanya.
Beliau turut menyingkap bagaimana ucapan tokoh dunia seperti Martin Luther King Jr, Winston Churchill, Nelson Mandela dan John F. Kennedy telah menjadi sumber inspirasi yang membawa perubahan besar kepada dunia.
“Ucapan boleh mengubah dunia. Satu kata boleh mengubah seseorang, dan satu kata juga boleh mengubah seluruh dunia. Begitu besar kuasa komunikasi, kemahiran ini wajar dikuasai oleh semua ahli Toastmasters,” kata beliau.
Wong turut menegaskan bahawa peranan Toastmasters bukan sekadar membantu perkembangan peribadi, tetapi juga mendorong kemajuan masyarakat.
“Apabila kita berkembang secara individu, pasukan kita bersinar lebih terang. Apabila kita bersinar bersama, seluruh komuniti turut bersinar bersama kita,” katanya lagi.
Sementara itu, Amy Ong dilantik memegang jawatan presiden baharu Kelab Toastmasters Swan City, Lee Kock Hui (Sibu Rainbow), Pio Su Kwong Sing (Rejang), Wong Siong Lang (The Best) dan Tan Siew Choo (Dream Chasers).
Turut hadir, Pengarah Kualiti Program Daerah 87 Kelab Toastmasters Antarabangsa DTM Desmond Chieng dan pengerusi pengelola May Tu.
Oleh Akun Giman