
KANOWIT: Masyarakat rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah diseru terus mengekalkan perpaduan dan kerjasama bagi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan itu pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, perpaduan dalam kalangan penduduk amat penting kerana ia mampu memperkukuhkan suara rakyat dalam menyampaikan keperluan kepada kerajaan dan kementerian berkaitan.
“Perpaduan akan memperkukuhkan suara rakyat sekali gus memudahkan usaha membawa lebih banyak pembangunan kepada perhatian kerajaan dan kementerian berkaitan,” katanya ketika merasmikan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Ngiling Bidai JKKK Bukit Sesanggau Sungai Mapai, Jalan Nibong Tada di sini, hari ini.
Menurut beliau, pembangunan yang lebih pesat hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat terus bersatu dan memberi kerjasama kepada kepimpinan sedia ada.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan projek pembinaan baharu rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tr Nasa @ Lika Anak Francis di Bukit Sesanggau, Sungai Mapai bernilai RM150,000 telah siap sepenuhnya.
Katanya, projek RTP yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal itu merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat bagi DUN Ngemah, semua rumah panjang di kawasan Ngemah telah menerima manfaat projek RTP mengikut keperluan masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, Anyi turut mengucapkan tahniah kepada 69 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nanga Dap dan SMK Kanowit yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Beliau berharap ibu bapa terus memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna demi menjamin masa depan yang lebih baik.
Oleh Tarani Lanting