
PAKAN: Kerjasama erat antara pemimpin politik dan kepimpinan komuniti tanpa mengira perbezaan parti terus menjadi asas utama dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan, khususnya di kawasan Julau dan Pakan.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata keutamaan beliau bukanlah untuk berpolitik setiap hari, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat melalui kerjasama menyeluruh antara wakil rakyat serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
“Kita bukan bermain politik setiap hari, tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat dan sentiasa menjalin kerjasama antara pemimpin,” katanya ketika berucap pada majlis Mangkung Tiang bertempat di rumah panjang baharu, Rumah Janting Dundang di Lemujan, baru-baru ini.
Katanya, kerjasama tersebut merangkumi penglibatan KMKK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) demi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Seperti saya di Pakan dan Julau, kita sentiasa bekerjasama dengan KMKK dan ADUN,” katanya.
Larry menegaskan bahawa perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membangunkan kawasan dan menjaga kebajikan rakyat.
“Kita dalam kerajaan sentiasa ada cara untuk bersama, walaupun parti berbeza tetapi kita tetap bersama kerana matlamatnya adalah untuk membangunkan negara, amnya rakyat,” katanya.
Beliau turut memuji semangat perpaduan dan kesungguhan penduduk rumah panjang tersebut yang berjaya membina sebuah rumah panjang baharu yang lebih moden, meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pembinaan.
“Agak sukar bagi kita untuk memulakan sesuatu perkara. Contohnya, menanam kelapa sawit mengambil masa hampir tiga tahun untuk mendapatkan hasil.
“Selepas mengeluarkan buah pertama, ia akan terus menghasilkan buah sehingga 20 tahun.
“Ini perbandingan yang saya gunakan kepada kita yang telah berjaya membina rumah panjang baharu,” katanya.
Tambahnya, cabaran awal seperti mencari tanah, menyediakan tapak pembinaan serta mendapatkan pembiayaan bukanlah perkara mudah, namun usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.
“Pada mulanya, kita menghadapi kesukaran seperti mencari tanah untuk membina rumah, membuat tapak rumah dan mencari pinjaman atau menggunakan simpanan untuk membina rumah.
“Saya berharap dan berdoa agar mereka dapat bergaul dengan baik dan panjang rumah mereka panjangnya 50 pintu dan saya fikir, antara rumah panjang terpanjang di Pakan selain Nyalak Ladong,” katanya lagi.
Larry turut menggesa penduduk agar terus mengekalkan semangat kebersamaan, bukan sahaja dalam kalangan penduduk rumah panjang tersebut, malah dengan komuniti rumah panjang lain di kawasan sekitar.
“Saya harap penduduk rumah panjang ini, apa sahaja aktiviti mereka akan sentiasa bersama, termasuk dengan penduduk rumah panjang lain,” katanya.
Di majlis sama, Larry juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Janting, manakala Biro Wanita rumah panjang tersebut menerima peruntukan RM10,000 bagi menyokong aktiviti komuniti dan pembangunan setempat.
Oleh Earl Anek