
SIMANGGANG: Keamanan dan perpaduan kaum yang dikecapi di Sarawak menjadi asas kukuh dalam usaha memajukan negeri ini, kata Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie.
Menurut beliau, kejayaan Sarawak tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan pemimpin dan rakyat mengekalkan keharmonian pelbagai kaum demi kelangsungan hidup negeri dan negara.
“Rakyat negeri lain mengagumi kemajuan Sarawak yang dicapai hasil toleransi dan kerjasama antara kaum sejak sekian lama,” katanya ketika berucap pada majlis Ngiling Tikai anjuran Pejabat Daerah Pantu, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Doris turut mengingatkan bahawa majlis itu bukan sekadar menandakan berakhirnya Gawai Dayak, tetapi juga memperkukuh perpaduan masyarakat.
“Jika kita mahu melihat ‘Sri Aman Mansang Maju’, kita mesti terus bersatu hati, hidup harmoni dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman