LAWAS: Perpaduan, toleransi dan persefahaman antara masyarakat majmuk adalah pengikat utuh dalam membentuk Keluarga Malaysia di Sarawak sejak sekian lama.
Malahan konsep Keluarga Malaysia bukan sesuatu yang baru seperti Keluarga 1 Malaysia dan sebagainya di Sarawak.
Ini kerana konsep perpaduan antara kaum itu sudah lama wujud dalam konteks integrasi sosial dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan memberitahu demikian pada program Randau Solidariti Komuniti anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Lawas di Kawasan Rukun Tetangga Banting kelmarin.
Seterusnya Awang Tengah turut menjelaskan bahawa kepelbagaian dan perbezaan yang ada bukanlah satu kelemahan sebaliknya satu kekuatan bagi rakyat majmuk Sarawak.
Kestabilan politik dan kerajaan hari ini adalah disebabkan oleh penglibatan berbagai kaum yang ada di Sarawak sehingga berjaya membentuk gabungan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kewujudan kestabilan dan perpaduan memudahkan kerajaan merancang berbagai usaha pembangunan dan hala tuju sesebuah kawasan dalam arus pembangunan Sarawak.
Kita lihat dahulu kawasan Banting ini kawasan hutan dan kawasan jalan berturap hanyalah sekitar 1 KM persegi dan itupun diturap secara semburan minyak tar sahaja dan ini berlaku pada tahun 1987,” ujarnya.
Sekarang Lawas sudah jauh membangun dan kehidupan rakyat terus bertambah baik dari berbagai aspek kerana mampu bergerak bersama dalam kepelbagaian kaum ini.
Pada masa yang sama beliau menyeru agar amalan bergotong royong dapat disuburkan semula dalam menjayakan berbagai aktiviti mahupun perayaan diperingkat akar umbi.
Awang Tengah turut mengingatkan rakyat agar terus bersama memastikan kerajaan yang mempunyai rekod perkhidmatan baik dan mampu menunaikan segala janji dikekalkan melalui pilihanraya negeri Sarawak kali ini.
“Pilihanraya bukanlah suatu perkara kecil tetapi sesuatu yang amat penting dalam menbentuk sebuah kerajaan yang mempu membela rakyat.
Sejarah 22 bulan dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus menjadi pengajaran kerana banyak janji manis, bulan dan bintang yang dijanjikan tetapi selepas itu segala janji diabaikan dan mereka melakukan semata-mata untuk berkuasa,” tambahnya.
Kerajaan GPS dalam tempoh tiga tahun berjaya mendapat hak cukai minyak dan gas untuk Sarawak dan wang ini disalurkan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat Sarawak.
Malahan banyak kejayaan telah dicapai dibawah kerajaan GPS yang berdiri sendiri tanpa bergabung sebagai komponen kerajaan peringkat Persekutuan.
GPS menyokong kerajaan yang mampu memberi faedah untuk rakyat Sarawak dan kemajuan negeri ini dan berani menegur jika berlaku sebaliknya.
Hadir sama ialah bekas ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Pegawai JPNIN Lawas Peridah Tair dan kenamaan lainnya.
Oleh ADENG EDRUS