KUCHING: Syarikat Perodua melakukan program jelajah di Majlis Pembandaran Padawan (MPP) dengan sempena model baharu Perodua Alza semalam. Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Datuk Ahmad Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengurus Besar Divisyen Jualan Perodua, Fazlee Alton Abdullah Saffri kerana memilih lokasi MPP sebagai satu-satunya tempat persinggahan untuk program jelajah ini.
“Pelancaran Perodua Alza Serba Baharu ini antara salah satu pencapaian Perodua sejak ditubuhkan dan menjadi bukti kerjasama secara efektif di antara pihak kerajaan danswasta. “Impak kemajuan industri automotif negara dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana seperti mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing. “Saya juga difahamkan terdapat seramai 11,500 pekerja tempatan di Perodua yang terdiri daripada pekerja operator hingga ke tahap pengurusan,” katanya.
Datuk Ahmad Ibrahim yakin sasaran Perodua dapat dicapai berikutan pertumbuhan industri automotif negara yang amat memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan 61,624 kenderaan didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 unit kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac tahun lepas. “Kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak 2006 dan menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi ianya juga sangat digemari oleh pencuri kereta.
“Saya berharap Perodua boleh memperkenalkan immobilizer binaan untuk semua model baharu untuk membantu mengurangkan kecurian kereta untuk alat ganti,” katanya. Sehubungan itu, beliau amat berminat dengan ciri-ciri canggih yang ada pada Perodua Alza dengan 10 penambahbaikkan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil. Ahmad Ibrahim yakin dengan model baharu ini, akan diterima baik oleh seluruh Rakyat Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai mengikut aspek pemanduan di Malaysia.