BANGKOK: Jurulatih skuad bola sepak remaja Thailand yang pernah mendapat perhatian dunia kerana terperangkap hampir tiga minggu dalam gua berikutan banjir, sekali lagi berdepan detik cemas apabila terpaksa berlindung di atas bumbung rumah akibat banjir kilat.
Ekkapol Chantawong memberitahu AFP hari ini, dia memanfaatkan pengalaman pada 2018 bersama pasukan ‘Wild Boars’ untuk mengharungi detik pahit itu di rumahnya di daerah Mae Sai, utara Thailand.
Hujan lebat berhari-hari berikutan Taufan Yagi mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di utara Thailand, Vietnam, Laos dan Myanmar.
Beliau yang dihubungi AFP menerusi telefon, berkata air banjir naik secara tiba-tiba di kampung Ekkapol awal pagi Selasa, menyebabkan dia dan keluarganya tidak sempat melarikan diri.
Berikutan paras air terus naik, dia terpaksa naik ke bumbung rumah bersama teman wanita dan ibu saudaranya, malah terperangkap di situ sepanjang malam.
“Saya takut tetapi tetap memberitahu diri sendiri supaya bertenang, tunggu dan nilai keadaan,” katanya.
Disebabkan air beransur surut, Ekkapol dapat turun semula ke tingkat bawah rumahnya, namun masih tidak dapat keluar menyelamatkan diri kerana arus di luar masih terlalu deras.
Untuk rekod, pada 2018, Ekkapol bersama 13 pemain bola sepak bawah 16 tahun Thailand terperangkap hampir tiga minggu dalam sebuah kompleks di dalam gua yang dinaiki air.
Beliau berkata, pengalaman berada dalam gua itu banyak mengajarnya untuk lebih tenang ketika sekali lagi diuji dengan musibah banjir. – AFP