
KUALA LUMPUR: Jumlah permohonan untuk menurunkan kandungan memudaratkan dalam talian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada pemberi perkhidmatan menunjukkan peningkatan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata trend meningkat itu disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya pemantauan proaktif oleh MCMC, kesedaran orang ramai akan saluran aduan dan peningkatan penggunaan teknologi AI bagi tujuan penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian.
Teo berkata permohonan penurunan kandungan tertinggi oleh MCMC kepada pemberi perkhidmatan adalah berkaitan perjudian yang merangkumi 62 peratus daripada keseluruhan permohonan.
“Bagi kandungan penipuan (scam) termasuk akaun palsu dan penyamaran, jumlah permohonan adalah 21 peratus (daripada keseluruhan permohonan), manakala bagi kandungan jelik, angkanya adalah tujuh peratus,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri S Vell Paari yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan tiga ancaman keselamatan dalam talian tertinggi di Malaysia termasuk penipuan dalam talian, kecurian identiti dan pencerobohan data serta statistik terkini dan trend peningkatan kes dari tahun ke tahun.
Teo berkata mengikut perbandingan tahun ke tahun, permohonan penurunan kandungan berkaitan perjudian meningkat kepada 293,057 permohonan pada 2025 berbanding 196,510 permohonan pada 2024 manakala permohonan melibatkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran bertambah kepada 102,113 pada tahun lepas berbanding 66,507 pada tahun sebelumnya.
Bagi kandungan jelik, permohonan penurunan kandungan meningkat kepada 42,027 pada 2025 berbanding 19,344 pada 2024.
Teo berkata dari 2022 hingga 1 Mac tahun ini, sebanyak 576,269 permohonan penurunan kandungan berkaitan perjudian telah direkodkan, manakala 197,120 permohonan melibatkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran serta 69,541 berkaitan kandungan jelik.
Beliau berkata tindakan muktamad penurunan kandungan memudaratkan dalam talian oleh pemberi perkhidmatan dibuat berdasarkan aduan yang diterima, garis panduan komuniti platform serta aplikasi undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
Sementara itu, Teo berkata isu penipuan dalam talian, kecurian identiti dan pencerobohan data pada umumnya berada di bawah kawal selia agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Keselamatan Siber Negara dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) berdasarkan akta berkaitan.
Namun, katanya, MCMC turut memainkan peranan melalui bantuan teknikal kepada agensi penguat kuasa lain termasuk pembekalan maklumat serta analisis forensik digital bagi membantu siasatan.
Teo berkata MCMC turut melaksanakan pemantauan proaktif serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan kandungan memudaratkan dalam talian seperti penipuan dan kecurian identiti selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 ((Akta 866).- Bernama