
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 1 Oktober untuk mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi melucutkan hak wang tunai melebihi RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail dan bekas Setiausaha Politiknya Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus selaku responden, memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk menyemak dan menjawab permohonan tersebut.
Mahkamah turut mengarahkan pihak pembelaan memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 13 Ogos ini, manakala SPRM perlu memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 3 Sept depan.
Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Alis Izzati Azurin Rusdi serta peguam Ragunath Kesavan, yang turut mewakili Ismail dan Mohammad Anuar.
SPRM memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang berkenaan yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Wang yang dimohon untuk dilucut hak ialah RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); GBP£50,250; NZ$44,600; AED34,750,000 (Emirati Dirham) dan AUD352,850.
Permohonan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 setelah berpuas hati bahawa wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Pada 3 Julai Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media berkata agensi antirasuah itu akan memohon kepada mahkamah untuk melucutkan harta yang dirampas berjumlah RM170 juta.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bera itu.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lepas.
-Bernama