Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Permohonan Ismanira tangguh hukuman penjara ditolak, Zaim gagal kawal emosi
  • MAHKAMAH

Permohonan Ismanira tangguh hukuman penjara ditolak, Zaim gagal kawal emosi

Utusan Sarawak 8 hours ago
ZAIM Ikhwan Zahari keluar selepas Mahkamah Sesyen hari ini menyampaikan keputusan berhubung isterinya, Ismanira Abdul Manaf, yang berdepan tuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Suasana di galeri awam bertukar tegang selepas prosiding pembelaan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin sebaik Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan ibu kanak-kanak itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya.

Suami kepada Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari dilihat gagal mengawal emosi dan terus berdiri sambil menyatakan “semoga Allah laknat” hingga terpaksa ditenangkan oleh beberapa ahli keluarga dan ibu bapanya.

Dia kemudiannya dibawa keluar dari kamar mahkamah manakala Ismanira, 30, yang berada di kandang tertuduh kelihatan sebak semasa mahkamah membuat keputusan itu sambil meminta suaminya bertenang.

Mahkamah Sesyen di sini sebelum itu menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguh hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira setelah didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.

Hakim Syahliza berkata tiada keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman terhadap wanita berkenaan.

“Setelah meneliti dan menimbangkan hujahan pembelaan dan pendakwaan, mahkamah berpandangan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pembelaan tidak terjumlah kepada keadaan khas atau luar biasa.

“Sabitan tertuduh telah disahkan oleh mahkamah ini dan tiada sebab meyakinkan saya untuk menangguhkan hukuman penjara yang telah diperintahkan terhadap tertuduh.

“Alasan dikemukakan terutamanya berhubung penjagaan anak keduanya adalah perkara peribadi tertuduh yang masih boleh diuruskan tertuduh dan ahli keluarganya…Oleh itu, permohonan tertuduh ditolak dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dengan serta-merta,” kata hakim itu.

Syahliza sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Sebelum itu,  peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira berkata pihak pendakwaan tidak akan diprejudiskan sekiranya penggantungan pelaksanaan hukuman dibenarkan mahkamah.

“Mahkamah boleh menetapkan jaminan lebih tinggi berserta syarat lain jika penangguhan diberikan kepada anak guam. Jika rayuannya di Mahkamah Tinggi dibenarkan dan dia telah pun menjalani hukuman penjara, ia tidak adil buat tertuduh,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi membantah permohonan peguam dengan alasan tiada keadaan khas atau luar biasa yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.

“Rayuan tidak boleh menjadi alasan automatik untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. Mahkamah mesti mempertimbangkan bahawa rayuan akan dibuat selepas tertuduh didapati bersalah.

“Jika seseorang didapati bersalah selepas perbicaraan penuh, pertimbangan yang berbeza mesti diberikan. Haknya sama sekali tidak akan terjejas jika penangguhan tidak diberikan kerana rayuan di Mahkamah Tinggi belum didengar atau diputuskan lagi,” katanya.

Pada 21 Julai lepas, Syahliza memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya Zaim Ikhwan, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai hingga kawasan sungai berdekatan antara 12.00 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokannya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya. Bernama

Continue Reading

Previous: Keputusan kes Najib babitkan dana RM2.3 bilion 1MDB ditetapkan 26 Disember
Next: 53-year-old man faces charge over possession of obscene material

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.