
KUALA LUMPUR: Permohonan Dana Pemangkin Generasi MADANI bernilai RM5 juta akan dibuka secara rasmi 1 hingga 30 Jun ini, bagi menyokong penghasilan kandungan kreatif yang mengangkat aspirasi Malaysia MADANI.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, dana yang disediakan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu terbuka kepada syarikat tempatan dan organisasi belia yang layak.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata, dana berkenaan meliputi lima kategori utama penerbitan iaitu telefilem, dokumentari, filem pendek, dokumentari pendek dan animasi.
“Melalui dana ini, Kementerian Komunikasi menerusi FINAS menyasarkan penghasilan kandungan yang mengangkat aspirasi Malaysia MADANI dengan memberi penekanan kepada pengukuhan jati diri, keharmonian, integriti dan perpaduan masyarakat,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Penutup Sambutan Festival Belia @ Hari Belia Negara 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini. – Bernama