
KUALA LUMPUR: Permohonan Fasa 1 bagi Dana Inovasi Media yang bertujuan memperkasakan ekosistem media negara melalui adaptasi teknologi dan pembangunan bakat, dibuka bermula 1 hingga 14 Jan depan.
Kementerian Komunikasi menerusi hantaran dalam Facebook hari ini, memaklumkan permohonan dana pembiayaan itu terbuka kepada organisasi media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia dan petugas yang memegang Kad Perakuan Media.
“Pembiayaan merangkumi empat skop utama, iaitu latihan media untuk peningkatan kemahiran warga media dan teknologi yang merangkumi perisian serta adaptasi teknologi terkini.
“Selain itu, skop peralatan bagi pembelian atau sewaan peralatan teknikal dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) meliputi inovasi kandungan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI),” menurut hantaran itu.
Menurut kementerian itu, bagi skop latihan ia merangkumi latihan teknologi atau metodologi baharu, kos penganjuran atau penyertaan pekerja, manakala skop teknologi pula melibatkan pembiayaan bagi perisian audio, video, AI, automasi atau grafik yang menyokong penghasilan kandungan.
Skop peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan meliputi pembiayaan bagi kamera, komputer, audio, studio kecil, server dan peralatan ICT yang lain, manakala R&D kandungan melibatkan pembiayaan kajian pembangunan kandungan inovatif termasuk penggunaan AI dan teknologi baharu.
Borang permohonan kini boleh dimuat turun menerusi https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my.
Menurut hantaran itu, borang permohonan lengkap boleh dihantar menerusi serahan tangan kepada urus setia Dana Inovasi Media di Kementerian Komunikasi, Putrajaya atau melalui e-mel danainovasimedia@komunikasi.gov.my sebelum atau pada 14 Januari. – Bernama