KUALA LUMPUR: Agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka permohonan baharu untuk Geran Kandungan Digital di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia 2022 (Geran Kandungan Digital 2022) bermula kelmarin.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, Geran Kandungan Digital yang diperkenalkan sejak 2021 itu bertujuan membantu dan menggalakkan kesinambungan serta kemapanan pengamal industri kreatif negara, selaras dengan norma baharu berikutan pandemik Covid-19.
“Saya melihat Geran Kandungan Digital 2022 ini sangat penting dalam membantu pencipta kandungan digital merealisasikan idea mereka ke dalam bentuk produk sedia untuk dipasarkan. Pencipta kandungan digital memiliki pelbagai idea menarik, tetapi mereka sukar memulai dan mendapatkan dana.
“Justeru saya yakin melalui Geran Kandungan Digital 2022 ini, MDEC bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan malah membantu mereka dalam penghasilan kandungan digital yang boleh dipasarkan kerana idea mereka akan dinilai oleh panel yang terdiri daripada pakar industri,” katanya, dalam kenyataan semalam.
Geran Kandungan Digital 2022 menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) untuk membangunkan kandungan baharu atau sedia ada di pasaran dalam bentuk animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.
Annuar berkata, pemohon terpilih akan dijemput ke sesi pembentangan yang dijadualkan pada Ogos, sebelum kelulusan diumumkan menjelang September 2022.
Pendaftaran untuk Geran Kandungan Digital 2022 kini dibuka sehingga 29 Julai 2022 dan mereka yang berminat boleh melayari https://mdec.my/dcgprisma2022 untuk maklumat lanjut.
— Bernama