
KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun akan didengar pada 25 Februari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu semasa prosiding pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam S.Karthigesan bagi pihak Waytha Moorthy serta peguam Daniel Albert dan Nicholas Yap, mewakili Anwar.
Hadir sama Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku amicus curiae atau sahabat mahkamah.
Terdahulu, Albert memaklumkan bahawa Ranjit Singh selaku peguam utama yang mewakili Anwar tidak dapat hadir atas masalah kesihatan dan memohon maaf atas notis singkat yang diberikan.
Karthigesan pula memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya, yang juga seorang pengamal undang-undang, memohon untuk bertindak sebagai peguam bersama dalam kes ini dan akan berhujah berkaitan isu tertentu yang akan dibangkitkan.
Pada 10 Oktober lepas, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai prosedur dan keperluan Perlembagaan serta berkanun lain yang mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Beliau mendakwa saman itu adalah tidak berasas, tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 12 Ogos 2025, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi memperoleh deklarasi bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pengerusi Hindraf itu turut memohon deklarasi bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pada 14 Ogos tahun sama, AGC memaklumkan bahawa tidak timbul sebarang isu Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri kerana Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa beliau telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
Menurut AGC, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya dibuat melalui petisyen pilihan raya sebagaimana diperuntuk di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.- Bernama