
KUCHING: Permintaan tinggi di luar jangkaan dari pasaran Jepun terhadap lada Sarawak mendorong SaraSpice Sdn Bhd (SSB) untuk memperkukuhkan lagi kedudukan produknya di pasaran global, sekali gus meningkatkan inisiatif kelestarian dalam industri lada Malaysia.
Ahli Parlimen Sri Aman merangkap Pengerusi Saraspice Sdn Bhd, Dato Sri Doris Sophia Brodi berkata kualiti istimewa tersebut telah menjadi faktor utama mendorong peningkatan jualan mereka di Jepun sekaligus menjadikan lada Sarawak sebagai ‘Resipi Rahsia’ kepada kejayaan produk di negara tersebut.
“Pembeli Jepun memberitahu bahawa selepas mencuba lada dari negara lain, jualan mereka merosot dengan ketara.
“Hanya lada Sarawak dapat mengekalkan kualiti dan cita rasa yang diperlukan oleh pasaran Jepun,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Produk Terbaru Saraspice di sini, hari ini.
Seiring dengan kejayaan tersebut, SaraSpice dan Lembaga Lada Malaysia (MPB) kini mempergiatkan usaha kolaboratif untuk melatih dan membimbing petani lada tempatan bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi piawaian keselamatan makanan dan amalan pertanian lestari yang semakin dituntut oleh pembeli antarabangsa, khususnya Jepun.
Dalam majlis pelancaran tersebut, SaraSpice turut memperkenalkan produk baharu termasuk pembungkusan premium 200 gram lada putih dan hitam serta perasa lada bawang putih, sebagai langkah memperluaskan penawaran produknya kepada pengguna global.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) merangkap Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau, Ketua Pengarah MPB, Vincent Sawat; Wakil Korporat MPB, Florence Sanjan, Pengurus Besar SSB, Fu Siang Lee serta Ahli-Ahli Lembaga MPB dan SSB.
Oleh Masrin Affirah